GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid mengulangi pendirian tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang mana-mana individu tertentu menyampaikan kuliah agama di negeri ini.
Beliau yang juga Exco Agama Islam berkata, semua keputusan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang tanpa campur tangan dirinya.
“Sama seperti yang dijelaskan sebelum ini, kenyataan saya jelas yang mana saya tak ganggu proses penguatkuasaan.
“Semua dilakukan secara profesional oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan menyekat pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus daripada menyampaikan kuliah di negeri berkenaan.
Terdahulu, Pas Pulau Pinang mendakwa sekatan yang dikenakan terhadap pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus daripada menyampaikan kuliah di negeri itu berunsur politik.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, tindakan terhadap pengajar-pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang itu menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat di Pulau Pinang.
“Terbaharu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pula menjadi mangsa ketidakbijakan pencatur politik apabila beliau disekat dari menyampaikan kuliah di tiga lokasi di negeri ini.
“Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan semula keputusan penyekatan asatizah ini, agar keharmonian rakyat di negeri yang tercinta ini dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Media pada 11 November 2022 melaporkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengeluarkan surat pekeliling senarai nama 16 individu termasuk pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.
Turut tersenarai adalah Datuk Ahmad Husam Baderudin, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan. – MalaysiaGazette