Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Persidangan Meja Bulat anjuran Pemuda UMNO Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui beliau cukup tersentuh hati apabila mengenangkan nasib yang menimpa bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini.

Bekas menteri Kabinet itu berkata, air matanya pasti mengalir kerana sedih dengan apa yang dilalui bekas perdana menteri itu sehingga beliau dimasukkan ke dalam penjara.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berharap ahli UMNO terus berdoa agar Najib dapat dibebaskan dengan segera dan usaha membebaskan beliau tidak pernah terhenti dilakukan oleh parti.

“Kita berdoalah Datuk Najib keluar penjara secepat mungkin. Bila bercakap tentang Datuk Najib meleleh air mata saya sebab saya tak sanggup apa yang berlaku kepada beliau.

“Yang pertama beliau anak Tun Razak iaitu pengasas Dasar Ekonomi Baru. Anak bekas perdana benteri dan bekas perdana menteri.

“Sanggup kita buat begitu? Saya rayu kita doa agar Datuk Najib dapat keluar penjara secepat dan kita (parti) berusaha. Saya pun selalu cakap dengan Presiden UMNO dan Menteri Undang-Undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Meja Bulat Pemuda UMNO sempena Kolokium Pra Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur di sini malam ini.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Persidangan Meja Bulat anjuran Pemuda UMNO Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2023.

Ogos lalu, genap setahun Najib, 70, meringkuk di Penjara Kajang, selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos tahun lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun atas pertuduhan tersebut.

Najib gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Ketika ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – MalaysiaGazette

Suasana di Persidangan Meja Bulat anjuran Pemuda UMNO Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2023.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast