KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengesahkan tiga daripada empat ahli Parlimen pembangkang yang beralih sokongan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertukar tempat duduk di Dewan Rakyat.
Mereka kini duduk di belakang kerusi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Tiga ahli Parlimen Bersatu dipindahkan ke belakang YB Muar,” katanya dalam catatan di X di sini hari ini.
Syahredzan turut memuat naik gambar plak nama Ahli Parlimen tersebut iaitu dari Labuan, Jeli dan Gua Musang.
Sebelum ini, empat ahli Parlimen Perikatan Nasional dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Baru-baru ini, Bersatu menggantung keahlian Suhaili dan Dzulkarnain Abdul Khalid manakala Mohd. Azizi dan Zahari pula kini dirujuk kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu.
Mereka menyatakan sokongan kepada Anwar dan membuat keputusan itu demi kepentingan dan kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.
Pada September lalu, Syed Saddiq secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) cuba membangkitkan perkara itu di Parlimen yang memetik Peraturan Mesyuarat 18 (1) berhunung perkara kepentingan awam yang mendesak.
“Saya rasa terganggu untuk berucap tadi apabila saya tengok ada tiga kerusi telah dipindahkan ke sana. Mereka ini tak melompat parti, dia menyatakan sokongan, kenapa dipindahkan kerusi?
“Kalau pindah kerusi mereka, berhenti teruslah. Nanti ada 10 orang datang masuk kerusi mereka,” kata Shahidan. – MalaysiaGazette