LEBIH sebulan sejak serangan rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, krisis Israel-Palestin dilihat seakan tiada noktahnya. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 27 Oktober yang lalu telah meluluskan resolusi gencatan senjata Israel. Walau bagaimanapun, usaha ini menemui jalan buntu apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan keras menolak resolusi tersebut. Walhal, Israel dengan jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Semenanjung Gaza pada masa ini terus berdepan dengan serangan terburuk dalam sejarah semenjak serangan rejim Zionis Israel bermula 8 Oktober lalu. Angka kematian kini telah melepasi 10,000 orang dan jumlah ini akan terus meningkat selagi serangan ini tidak dihentikan. Serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilihat berterusan menyasarkan kawasan yang padat dengan orang awam yang tidak berdosa. Di manakah sisa nilai kemanusiaan apabila jasad rakyat Palestin yang tidak bernyawa hancur menjadi cebisan daging tanpa mampu diketahui identiti mereka?
Tidak hanya menyerang kawasan kediaman, pusat beribadah, hospital dan institusi pendidikan, dunia turut digemparkan dengan siri serangan udara IDF di beberapa kem pelarian Gaza. Kem Jabalia yang menjadi kem pelarian terbesar di situ juga tidak terkecuali. Serangan ini mengakibatkan kawasan tersebut menjadi padang jarak padang tekukur. Segala bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza boleh disekat oleh rejim Zionis Israel. Begitu juga segala infrastruktur Gaza mampu diruntuhkan oleh rejim ini. Namun, mereka tidak akan mampu untuk meruntuhkan pegangan agama yang dianuti rakyat Palestin. Daripada 2.3 juta populasi rakyat Palestin, majoritinya adalah beragama Islam.
Tragedi pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ternyata tidak dapat menggoyahkan iman mereka walaupun tidur malam mereka diselimuti peluru berpandu yang bertebaran di langit. Hasil tinjauan di media sosial, terdapat sebilangan penganut bukan Islam mula tertarik untuk mendalami agama ini. Hal ini didorong oleh kecekalan rakyat Palestin yang dilihat kental memperjuangkan kedaulatan negara dan agama. Malah, rata-ratanya tidak takut akan kematian walhal mereka hampir kehilangan segala-galanya.
Bertitik tolak dari itu, ramai penganut bukan Islam mula mengkaji kitab suci al-Quran. Sebahagian daripada mereka turut memeluk agama Islam setelah mendapati isi kandungan al-Quran adalah melangkaui batas pengetahuan manusia. Kehilangan ribuan nyawa rakyat Palestin tanpa disedari mula menghidupkan banyak jiwa yang mati. Dalam pada itu, ekonomi Israel dilaporkan mula merosot hingga mengakibatkan penyusutan nilai mata wangnya iaitu Shekel. Ini adalah susulan tindakan boikot produk Israel dan syarikat yang menyumbang hasil secara langsung kepada mereka. Tindakan boikot ini turut memberi kesan positif kepada jenama tempatan apabila permintaan pengguna semakin melonjak.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, puluhan ribu rakyat mereka turut melakukan protes dan boikot walaupun majoritinya beragama Kristian dan Judaisme. Hal ini kerana, kerajaan mereka secara terang-terangan memberi dana sokongan ketenteraan kepada rejim Zionis Israel. Protes yang dilakukan ini adalah atas kesedaran memperjuangkan hak manusia sejagat dan gesaan untuk Israel melakukan gencatan senjata.
Beberapa buah negara Amerika Latin seperti Chile, Colombia dan Bolivia turut mengumumkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel atas bantahan
keganasan yang dilakukan. Jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel telah menjadi pemangkin kepada penyatuan manusia di segenap pelosok dunia tanpa mengira agama mahupun bangsa. Malangnya, berita seperti ini sering kali diputar belit dalam media barat yang kebanyakannya pro-Israel.
Tuntasnya, di sebalik episod duka Palestin, banyak hikmah yang mampu kita singkap. Perbuatan menyokong tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan adalah satu tindakan yang tidak wajar sama sekali. Barangkali bukannya mata mereka buta atau telinga mereka tuli, namun hati mereka yang telah mati. Semoga suatu hari nanti bumi Palestin akan bersinar kembali dan bebas tanpa tembok sempadan yang memisahkan mereka dengan
dunia ini.
Oleh: Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)