Sekitar kawasan Hospital Al-Shifa. Foto CNN

GAZA – Beribu-ribu orang mungkin terperangkap di dalam hospital terbesar di Gaza akibat pertempuran berdekatan, manakala kakitanganya telah memberi amaran tentang sejumlah mayat reput bertimbun di dalamnya.

Hospital Al-Shifa, yang berdepan dengan pemotongan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api, “hampir menjadi tanah perkuburan”, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran.

Pengurus hospital itu berkata, kawasan itu berada di bawah “sekatan”, dan anjing-anjing telah mula memakan mayat.

Kawasan sekitar hospital telah menyaksikan pertempuran sengit sejak kebelakangan ini.

Presiden AS Joe Biden berkata beliau berharap untuk melihat “tindakan yang kurang mengganggu” di hospital, yang katanya “mesti dilindungi”.

Kota Gaza menyaksikan pertempuran yang semakin sengit antara tentera Israel dan Hamas sejak beberapa hari kebelakangan ini, yang kebanyakannya berlaku di jalan-jalan berhampiran hospital.

Terdapat laporan kereta kebal dan kenderaan berperisai berada dalam jarak beberapa meter dari pintu pagar hospital.

Israel menuduh Hamas mengendalikan pusat arahan dan kawalan dalam terowong di bawah hospital, yang dinafikan Hamas dan hospital.

Rajim Zionis itu turut menuduh Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza, “menghalang penyelesaian kemanusiaan”.

Tentera Israel juga telah berkata, walaupun terdapat pertempuran berhampiran Al-Shifa, tidak ada tembakan di hospital itu sendiri mahupun kepungan, dan sesiapa yang ingin pergi boleh berbuat demikian.

Christian Lindmeier, jurucakap WHO, berkata kira-kira 600 orang kekal di hospital, dengan yang lain berlindung di lorong-lorong.

“Di sekitar hospital terdapat mayat yang tidak boleh diuruskan atau tidak boleh dikebumikan atau dibawa ke mana-mana.

“Hospital tidak berfungsi lagi seperti sepatutnya. Ia hampir menjadi tanah perkuburan.”

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata terdapat sekurang-kurangnya 2,300 orang masih berada di dalam hospital – sehingga 650 pesakit, 200 hingga 500 kakitangan dan sekitar 1,500 orang mencari perlindungan.

Dr Mohamed Abu Selmia, Pengurus Hospital Al-Shifa berkata, terdapat kira-kira 150 mayat reput, “meninggalkan bau yang tidak menyenangkan”.

Menurutnya, pihak berkuasa Israel masih belum memberikan kebenaran untuk mayat tersebut dikebumikan, dan anjing kini telah memasuki kawasan hospital dan mula memakan mayat.

Terdapat juga kebimbangan mengenai nasib berpuluh-puluh bayi pramatang yang tidak lagi dapat tinggal di dalam inkubator kerana bekalan elektrik terputus.

Dr Selmia berkata, tiga bayi adalah antara beberapa pesakit yang telah meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

Beliau berkata, rundingan telah dijalankan dengan pihak berkuasa Israel untuk cuba memindahkan bayi-bayi itu, tetapi tiada persetujuan dicapai. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast