Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor Bahru sejak lima hari lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
“Setakat ini, doktor maklumkan suami alami jangkitan kuman pada paru-paru. Hasil ujian pertama, doktor mengesahkan Suhaimi bebas Tuberculosis (tibi).
“Untuk sahkan lagi, doktor sudah jalankan ujian kedua tetapi kami masih menantikan keputusan.
“Buat masa ini, suami masih ditidurkan dan doktor maklumkan keadaannya kritikal, tetapi semalam oksigen berada pada tahap normal. Cuma jantungnya masih laju sekitar 130,” katanya memetik laporan BH Online di sini hari ini.
Wanita berusia 39 tahun itu berkata, walaupun doktor mengatakan keadaan suaminya kritikal buat masa sekarang namun dia tetap yakin Suhaimi akan sembuh.
Pada masa yang sama, Ina yang pernah bergelar penyanyi sebelum ini memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhan buat suaminya.
“Kami ingatkan sebab makan buah banyak pada musim buah baru-baru ini menyebabkan Suhaimi batuk. Namun lama-kelamaan batuknya menjadi semakin teruk sehingga sesak nafas.
“Bulan lalu, batuknya beransur pulih tapi mengalami cirit-birit pula. Suhaimi ada selera makan, tapi tak sanggup nak makan kerana setiap kali makan akan buang air besar. Sebab itulah badannya susut sehingga tinggal 43 kilogram.
“Kami sudah ikhtiar macam-macam sehinggalah Suhaimi sendiri minta dihantar ke hospital. Dia bukan tak percaya hospital, cuma itu adalah ikhtiar terakhirnya,” ujarnya.
Selain itu, Ina juga memberitahu bapanya mencadangkan agar Suhaimi mendapatkan rawatan hospital di Johor Bahru bagi memudahkan mereka.
“Bapa saya cadangkan agar bawa balik Suhaimi jalani rawatan di Johor Bahru supaya mudah jika berlaku apa-apa.
“Keadaan Suhaimi ketika itu lemah dan berikan keizinan untuk ditidurkan untuk kurangkan kesakitan.
“Apa yang buatkan saya optimis Suhaimi boleh sembuh dan sihat kerana salah seorang anggota In-Team, Mohd Syahril juga pernah alami masalah sama, malah lebih teruk lagi.
“Tapi isterinya banyak meniupkan kata semangat. Bila dengar kata-katanya saya tambah semangat dan yakin suami akan sembuh,” kongsinya.
Pada masa yang sama, Ina juga berkata dia hanya mahu suaminya sedar seperti dulu kerana banyak lagi perkara yang mahu dikongsi bersama.
Sekadar info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9. – MalaysiaGazette