Mayat lelaki ditemui pagi tadi tersangkut di jambatan selepas hilang semasa keluar memancing semalam. Foto JBPM Perak

IPOH – Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di tali air berhampiran Jalan Kuala Parit Kampung Pasir Jenderis, Kampung Gajah semalam, ditemukan lemas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36, yang mempunyai penyakit sawan, ditemukan orang awam pada pukul 10.57 pagi tadi.

“Orang awam menemukan mayat mangsa tersangkut di jambatan pada jarak 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa berada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi disertai 47 orang daripada pelbagai agensi termasuk orang awam, ditamatkan pada 11.20 pagi. – BERNAMA