Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menyifatkan permohonan maaf terbuka bekas menteri Kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin dan menarik balik kata-kata fitnah terhadapnya sebagai satu pengajaran kepada semua ahli politik di negara ini.

Jelas beliau, ia juga membuktikan fitnah yang dilemparkan Zuraida itu bertujuan memudaratkan reputasi ke atas dirinya sebelum ini.

“Dan ini akan menjadi pengajaran kepada semua ahli politik,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Pagi tadi, kes saman fitnah oleh Saifuddin Nasution terhadap Zuraida selesai apabila bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Zuraida, 65, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd. Sani berkata, beliau telah menyatakan beberapa kenyataan terhadap Saifuddin Nasution, yang merupakan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, dalam suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance di sini pada 8 Disember 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau,” kata Zuraida.

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran di media sosialnya, Saifuddin Nasution juga berharap kes hari ini menjadi pengajaran kepada sesiapa yang terdetik untuk melakukan perbuatan khianat.

“Alhamdulillah, hari ini Zuraida telah kemuka permohonan maaf kepada saya dan menarik balik kata-kata fitnah yang diucapkan.

“Pengajarannya, usah khianat perjuangan, tiada yang hidup tenang dengan mengkhianati perjuangan. Kebenaran pasti menang jua akhirnya. Moga ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang terdetik untuk khianat.

“Yang ikut sama khianat waktu itu, ramai juga nak u-turn. Jawapan saya begini sahaja, tidak mudah. Perjuangan ini mahal nilainya. Reformasi !” tulisnya. – MalaysiaGazette