NILAI- Kos sara hidup yang sedang meningkat pada hari ini mendorong Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan inisiatif membantu mahasiswa melalui agihan makanan terutamanya kepada golongan B40 dengan menyediakan makanan kering secara percuma pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Dana agihan makanan PWZ adalah hasil daripada Tabung It’am Muhtajin (makanan untuk yang memerlukan) yang diperoleh daripada potongan gaji bulanan staf USIM dan sumbangan orang ramai serta dari institusi atau badan korporat.
Pengarah PWZ USIM, Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, inisiatif program agihan makanan ini dapat memudahkan pelajar menerima manfaat sumbangan yang berbentuk keperluan asas.
“Para pelajar boleh mengambil bantuan makanan kering di hadapan pejabat PWZ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat,” tambahnya.
Sementara itu, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Nur Alyaa Abdul Malik berterima kasih kepada PWZ kerana inisiatif ini dapat membantu pelajar menjimatkan perbelanjaan dari segi makanan kering.
“Saya dan rakan-rakan agak terkesan dengan keadaan ekonomi zaman ini, namun dengan inisiatif ini, saya dapat menarik nafas lega dengan makanan-makanan dan barangan yang disediakan,” kata Alyaa.
Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Ahmad Iqbal Hadi Mohd Zamani berkata, peningkatan harga barang yang menyebabkan kos sara hidup meningkat secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap mahasiswa.
“Inisiatif agihan makanan yang dijalankan oleh PWZ sebenarnya sangat membantu mahasiswa USIM khususnya kepada golongan B40 bagi menunjukkan keperihatinan pihak pengurusan USIM terhadap para pelajar,” katanya.
Beliau berharap program ini dapat diteruskan bahkan perlu mendapat perhatian yang lebih mendalam demi menjaga kebajikan mahasiswa serta perlu dipandang serius oleh semua pihak demi menjaga kemaslahatan setiap mahasiswa. – MalaysiaGazette
Muhammad Uzair Zuhaidy