Warganegara Malaysia, Nurul Ain Haron, 37 bercakap kepada media ketika di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA 1). Foto WAN NABIL NASIR, 14 NOVEMBER 2023.

SEPANG – Nurul Ain Harun yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam ini menegaskan terpaksa keluar daripada Gaza kerana keadaan semakin meruncing.

Jelasnya, keadaan di Gaza sekarang serba kekurangan dan beliau sedih kerana tidak dapat memberikan sumbangan kepada warga di sana kerana kekangan dan halangan rejim zionis Israel.

Malah, katanya, bantuan yang diberi kepadanya juga tidak dapat disalurkan kerana wang yang disumbangkan tidak dapat dikeluarkan.

“Ramai yang beri sumbangan dekat saya tapi kalau saya masih ada dekat sana, tidak ada stok makanan dan selimut.

“Jadi lebih baik saya keluar dari Gaza dan ambil langkah seterusnya sebab sekarang Israel sudah potong bekalan maksudnya saluran duit  atau bank saya tak dapat nak keluarkan,” katanya dalam keadaan sebak.

Nurul Ain selamat tiba di KLIA bersama suaminya, Mohamed AM Shaat pukul 8.55 malam tadi menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

Nurul Ain berkata, bagi menyalurkan bantuan ke Gaza, beliau  akan menggunakan Dubai untuk menyalurkan bantuan ke sana.

“Tak boleh nak digambarkan, kita akan cari solusi lain untuk hantar mungkin saya akan pindahkan sumbangan itu ke Dubai pergi ke Gaza sebab kami ada hubungan dengan pemborong di sana. Insya-Allah semoga dipermudahkan,” katanya lagi.

Menceritakan pengalaman beliau, Nurul Ain berkata, saudara suaminya mati syahid apabila dibedil lapan bom oleh rejim Zionis.

“Ada satu masa orang lain tak dapat rasa apa yang saya rasa dalam ahli keluarga suami sendiri ada yang syahid di mana tiga hari sebelum dia masakkan makanan untuk kami.

“Kita dapat tahu yang rumahnya dibom dengan lapan misil, bukan satu atau dua tetapi lapan dan rumahnya hancur dan mukanya pun tak nampak,” cerita Nurul Ain lagi.

Dalam pada itu, beliau dan suaminya masih risau dengan keadaan di Gaza kerana ibu bapa dan keluarga suaminya masih di tanah Gaza.

“Alhamdulillah saya dengan suami bersyukur keluarga masih di sana masih lagi selamat dan kami keluar dengan bismillah. Kami serahkan mereka dalam jagaan Allah dan Insya-Allah berharap mereka akan selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Berat hati tinggalkan Palestin tetapi keadaan semakin teruk – Nurul Ain

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast