KUALA LUMPUR – Presiden Pas menyifatkan pihak yang didakwa membeli wakil rakyat pembangkang sekarang sama seperti Qarun pada zaman Firaun.
Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mereka membeli dengan bayaran yang mahal setelah ditekan dengan menafikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).
“Bukan sahaja menafikan hak hasil negeri kepada negeri yang diperintah oleh Pas secara khusus malah termasuk yang wajib mengikut Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian yang wajib ditunaikan, menggunakan pendekatan yang sama mengikut cerita al-Quran,” katanya dalam Minda Presiden Pas di Facebook parti hari ini.
Menurut Abdul Hadi, Malaysia yang menjadi medan gerakan Islam pasti menghadapi cabaran yang sama.
“Pihak yang berkuasa mendapat bantuan kekayaan para Qarun pada zaman kini walaupun gerakan Islam dituduh mendapat bantuan tauke judi dan penyumbang rasuah. Suatu tuduhan dengan hujah yang bodoh, apabila pihak yang mahu mengharamkan dan menghapuskan judi serta rasuah dibantu supaya kuat dan menang,” ujarnya.
Menurutnya, semua orang boleh berfikir siapa yang menegakkan negara dengan harta yang melimpah-ruah yang datang dari luar dan dalam dan perkara ini tidak boleh dinafikan sekali-kali.
“Mereka membentuk kerajaan melalui kerusi minoriti dengan cara membeli parti dan wakil rakyat dengan bantuan Qarun-Qarun yang mengumpulkan kekayaan melalui pengaruh kekuasaan mereka,” katanya lagi.
Beliau juga mendakwa DAP yang jelas menentang Islam pada dasarnya, medianya dan pergerakan politiknya bersama dengan para tauke yang berharta kini tidak perlu lagi bekerja sendiri.
“Hal ini demikian kerana, mereka sudah dapat menggunakan khadam-khadam mereka termasuk daripada yang berwajah Islam untuk bercakap, menulis, menjadi calon, dan sebagainya, bagi menembusi kekuatan Islam yang dinamakan ‘gelombang hijau’ dan ditasawurkan (digambarkan) dengan suatu ketakutan jika Islam berkuasa memerintah negara,” katanya.
Perkara itu menjadi sebahagian daripada agenda Islamofobia yang dicipta menjadi senjata baharu bagi menentang Islam, kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette