Foto Facebook Muhammad Fauzi Yusof.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusof secara rasmi menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang akan bersidang mulai Jumaat ini.

Berita itu disahkan oleh ADUN Penaga dari Pas, Mohd. Yusni Mat Piah.

“Sungai Dua sudah rasmi sebagai Ketua Pembangkang PN (Perikatan Nasional) di DUN Penang. Lama sudah surat PN negeri hantar kepada Speaker DUN,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal mengenai DUN Pulau Pinang akan bersidang pada 17 November ini dan negeri itu juga dijangka menerima Ketua Pembangkang pertama daripada Pas.

Muhammad Fauzi yang juga merupakan Pengerusi Pas Pulau Pinang bertanding buat pertama kalinya dalam pilihan raya negeri lalu dan berjaya menang di Sungai Dua selepas mengalahkan calon UMNO, Shaik Hussein Mydin.

Walaupun wakil rakyat pembangkang dilaporkan menerima arahan untuk menyokong Muhammad Fauzi sebagai Ketua Pembangkang tetapi calon alternatifnya adalah ADUN Penaga Mohd. Yusni Mat Piah.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, sebelum ini timbul dua suara berbeza dalam PN iaitu memilih sama ada Mohd. Yusni atau Muhammad Fauzi sebagai Ketua Pembangkang.

“Mohd. Yusni telah terpilih buat kali kedua dalam pilihan raya, oleh itu Pas Pulau Pinang berpendapat beliau mempunyai pengalaman dalam DUN dan mungkin lebih layak memimpin wakil rakyat pembangkang semasa mesyuarat DUN,” kata sumber kepada akhbar itu.

Dalam pada itu, portal Guang Ming semalam melaporkan, Speaker Pulau Pinang, Datuk Liew Chi Kin mengesahkan Pejabat Speaker telah menerima surat rasmi daripada pakatan pembangkang iaitu PN yang mengesyorkan Muhammad Fauzi sebagai parti pembangkang dalam DUN negeri itu.

Sementara itu, DUN Pulau Pinang yang akan bersidang mulai Jumaat ini bakal mengupas isu kontroversi penjualan tanah PDC.

Di samping itu, DUN semasa juga akan menyaksikan ketua pembangkang pertama dari Pas dalam sejarah Pulau Pinang.

Daripada 40 kerusi DUN yang ada, PH-BN berjaya menang 29 kerusi manakala PN berjaya merampas 11 kerusi.

Daripada 11 kerusi pembangkang, tujuh adalah dimenangi oleh Pas dan empat oleh Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast