KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis berhubung hantaran seorang pimpinan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disiarkan menerusi aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.

“SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah ke atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu selepas berpuas hati dan mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: https://malaysiagazette.com/2023/11/09/syed-saddiq-didapati-bersalah-untuk-semua-pertuduhan/