KUALA LUMPUR – Media dalam talian hari ini melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dr Mohammad Agus Yusoff telah menghantar surat peletakan jawatan yang sepatutnya berkuatkuasa pada 15 November
Portal Suara TV memetik sumber bagaimanapun memaklumkan tiada kepastian sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima peletakan jawatan tersebut atau pun sebaliknya.
Anwar kini berada di San Francisco bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) sehingga 17 November.
Pelantikan Mohammad Agus sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada awal 2 Februari lalu menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan.
Rata-rata menyifatkan beliau gagal berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat.
Antara yang bersuara ADUN Skudai, Marina Ibrahim yang mahu jawatan tersebut diisi dengan individu lain kerana banyak maklumat tentang inisiatif serta dasar kerajaan berkepentingan rakyat tidak sampai ke bawah.
Artikel berkaitan: Agus gagal sebagai KP J-KOM, perlu ditukar – ADUN Skudai
Menurut Suara TV lagi, Dr Mohammag Agus dikatakan sedang menghabiskan cuti.
J-KOM merupakan penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa)dengan peranan dan fungsi berbeza pada 2020. — MalaysiaGazette