Marina Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang disandang oleh Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff perlu ditukar kepada orang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, Mohammad Agus gagal memainkan peranan memastikan J-KOM melaksanakan tugas dengan berkesan menyampaikan maklumat terutama insentif kerajaan kepada rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu berkata, banyak manfaat dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam membantu rakyat tidak diketahui masyarakat.

Marina berkata, apabila masyarakat tidak mengetahui kemudahan yang diberikan kerajaan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati manfaat yang disediakan.

“Tukar pengarah J-KOM. Penyampaian maklumat manfaat atau insentif diberikan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat tak sampai ke bawah pun.

“Untuk yang selalu buka pejabat bergerak dekat flat, dekat pasar macam kami ini (ADUN), apa kami nampak banyak insentif baik yang diberikan kerajaan pada rakyat contohnya, Skim Perubatan Madani, pergi sana sini bantu mohon, tak ramai pun tahu.

“PekaB40 dan MySalam dari zaman Pakatan Harapan (PH) pun ramai yang tak tahu,” katanya dalam satu perkongsian dalam ciapan di Twitter.

Beliau menegaskan wakil rakyat terpaksa membuka pejabat bergerak kerana ‘rasa sayang’ disebabkan banyak skim baik yang tidak diketahui rakyat.

“Kawasan bandar pun ramai tak tahu, apa kamu rasa kawasan kampung akan tahu? Pergi kawasan orang asal, kita juga kena terangkan,” katanya kesal.

Marina berkata, pihaknya sudah biasa buka pejabat bergerak dari tahun 2016 dan mendapati ada kaum yang sangat peka mendapat maklumat manfaat kerajaan dan ada yang ketinggalan seolah-olah maklumat tidak sampai.

Menurut beliau, ada rakyat yang tidak faham dan cara untuk memohon insentif yang disediakan kerana keliru.

“Ada orang langsung tak tahu apa-apa. Setiap kali buka pejabat bergerak “kenapa kami tak tahu pun?”.

“Tak percaya? Buat sendiri culaan dekat lapangan, berapa ramai yang sampai kepada mereka maklumat insentif bermanfaat yang diberikan kerajaan kepada rakyat atau skim-skim ditawarkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. inilah Yb yang BERKHIDMAT walau dari DAP. ANWAR IBRAHIM perlu buang Agus ni seperti saranan…. tapi jangan letak pula dari parti SAKAU… tak pepasal TAK CUKUP SEPARUH MASAK jadi PM…

Comments are closed.