Peserta himpunan White Coat Rally Save Gaza Hospital yang terdiri daripada petugas kesihatan di negara ini bersolidariti memperjuangkan kebebasan Palestin di hadapan Kedutaan Mesir, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) kesal selepas cubaan menghantar memorandum mengenai isu Gaza ‘dihalau’ Kedutaan Mesir di ibu negara.

Pengerusinya, Dr Zuraidah Kornain berkata, seramai lima wakil mereka dilayan secara kasar oleh pihak kedutaan berkenaan pagi semalam, malah memorandum itu juga ditolak.

“Kami amat berdukacita dengan layanan amat kasar ketika lima wakil kami mahu menghantar memorandum agar Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat tapi kami dihalau.

“Saya guna perkataan halau kerana mereka terus menolak memorandum kami, malah tiada seorang pegawai mereka pun mahu berbincang soal itu,” katanya ketika berhimpun bersebelahan Kedutaan Mesir, di sini, hari ini.

Dr Zuraidah Kornain

Jelasnya, mereka telah menghantar e-mel kepada pihak kedutaan pada 13 November lalu untuk memohon diadakan pertemuan, namun tiada maklum balas diterima.

“Sampai ke hari ini pihak kedutaan tidak jawab e-mel berkenaan, jadi kami terus bertindak hadir ke kedutaan untuk hantar memorandum selepas mendapat keizinan pihak polis, malangnya kedatangan kami ditolak,” ujarnya.

Zuraidah menambah, kesemua usaha menghantar memorandum berkenaan sebelum ini diterima oleh Kedutaan Amerika Syarikat, Suruhanjaya Tinggi British serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kecuali Kedutaan Mesir.

Antara tuntutan memorandum itu ialah menghentikan pembunuhan di Gaza, membuka sempadan Rafah tanpa syarat serta memudahkan bantuan kemanusian dan perubatan.

Dr Fauziah Mohd Hassan

Sementara itu, Penasihat Kehormat MWCQP, Dr Fauziah Mohd Hassan berkata, pengeboman rejim Israel terhadap hospital di Gaza adalah satu jenayah perang.

“Kami adalah sebahagian daripada Gabungan Kesihatan Global Menentang Genosid mengecam serangan rejim Israel yang membahayakan nyawa pesakit dan pencerobohan terhadap hospital yang dilarang dalam Konvensyen Geneva.

Malah katanya, kenyataan doktor Israel menyeru tentera mereka untuk memusnahkan hospital di Gaza turut menggambarkan kezaliman sehingga sanggup melanggar etika perubatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast