Pemain Malaysia, Dion Cools menanduk bola sekaligus menjaringkan gol pada perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadiuam Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia menampilkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 pada perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit, malam ini.

Pemain lincah, Faisal Halim muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan selepas Harimau Malaya sebelum itu ketinggalan 1-3.

Anak buah Kim Pan Gon membuka gol pertama seawal minit ketujuh menerusi tandukan pemain pertahanan, Dion Cools hasil sepakan sudut yang diambil oleh Arif Aiman.

Namun Malaysia ibarat hilang arah seketika hingga membolehkan pemain pertahanan Kyrgyzstan, Kayrat Zhyrgalbek menewaskan Syihan Hazmi untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-42.

Pemain Kyrgyzstan menjaringkan gol pada perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 diantara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023

Selang dua minit, Harimau Malaya terus tersentak skuad kendalian jurulatih kelahiran Slovakia menghukum tuan rumah apabila penyerang Kyrgyzstan, Batyrkanov Ernist menjaringkan gol kedua.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah terus ketinggalan 1-3 apabila Kyrgyzstan menggandakan jaringan ketiga menerusi pemain gantian, Merk Kai pada minit ke-57.

Pan Gon pantas membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Endrick Dos Santos yang akhirnya membuahkan hasil untuk merapatkan kedudukan 2-3 selepas jaringan sendiri pemain Kyrgyzstan.

Pemain Malaysia, Dion Cools meraikan jaringan dengan rakan sepasukan pada perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadiuam Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2023.

SNBJ kembali riuh pada minit ke-77 apabila Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi Cools dengan tandukannya menewaskan penjaga gol Kyrgyzstan gantian, Kadyrbekov Kutman.

Laungan siuuuuuu terus bergema apabila Faisal menjaringkan gol keempat Malaysia untuk menewaskan pelawat 4-3 pada minit ke-93 selepas menerima bantuan Arif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast