Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi forum APEC 2023 CEO Summit Programme bertajuk The Global Economy and The State of The World di San Francisco, Amerika Syarikat, 15 November, 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

SAN FRANCISCO – Negara seperti Malaysia dan kumpulan serantau seperti ASEAN tidak harus dipaksa melihat dunia ini dan kuasa-kuasa besar dalam set minda Perang Dingin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keadaan pada masa ini adalah lebih berkecamuk dan kompleks, yang memerlukan negara-negara sama ada besar atau kecil untuk berganding bahu serta bekerjasama dan tidak melakukan sebaliknya.

Oleh kerana itu mengapa pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping di luar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) adalah penting.

“Ia harus memberikan satu mesej jelas bahawa kita boleh bekerjasama dan percaya antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah serius seperti Perubahan Iklim,” katanya dalam sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC Ke-30 bertemakan ”The Global Economy and State of The World,” di sini pada Rabu.

Terlalu banyak isu kontroversi yang sedang dihadapi, kata Anwar yang memberi contoh seperti peperangan di Ukraine dan Gaza.

“Anda mesti mencuba dan menerima hakikat bahawa anda mungkin tidak dapat mencapai kesemua hasil yang diinginkan tetapi libat urus ini adalah penting untuk dicuba dan mewujudkan bidang yang boleh dilaksanakan.

Negara seperti Malaysia dan ASEAN  tidak boleh dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa-kuasa besar dalam set minda Perang Dingin,”

Perdana Menteri menekankan kedua-dua negara, Amerika Syarikat dan China sama penting bagi Malaysia.

“Amerika Syarikat merupakan rakan tradisi dan pelabur utama di Malaysia tetapi berlaku perubahan dan terdapat peningkatan dalam perdagangan dan pelaburan dari China.

Jadi mengapa kemudian meletakkan kami dalam keadaan yang sukar, satu mainan campur-tolak. Untuk manfaat negara-negara membangun dan juga untuk Barat dan Timur, saya percaya penyelesaiannya sudah tentu kerjasama yang lebih hebat,” katanya.

“Pemimpin bijak dengan wawasan dan komitmen. Kita harus berkongsi idea  dan boleh menyelesaikan isu-isu dengan lebih berkesan,” katanya.

Anwar tiba di sini pada Isnin (13 Nov) untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dari 14 hingga 17 Nov, yang merupakan penampilan sulung beliau selaku Perdana Menteri Malaysia pada mesyuarat itu.

Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selain pegawai-pegawai kanan kerajaan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast