bank negara malaysia
Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (kanan) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menunjukkan prestasi statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga tahun ini, meningkat berbanding 2.9 peratus suku sebelum ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan ekonomi disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan di mana perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah.

Beliau menambah, aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

“Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan.

“Walau bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Sasana Kijang di sini hari ini.

Abdul Rasheed menambah, kadar inflasi juga menurun kepada dua peratus bagi suku ketiga tahun ini berbanding 2.8 peratus pada suku sebelum ini.

Beliau memberitahu, inflasi teras yang menurun sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

“Rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 40.8 peratus pada suku ketiga, iaitu di bawah purata jangka panjang suku ketiga (2011-2019) sebanyak 44.5 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, penambahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berlanjutan ke suku ketiga dan menyebabkan nilai ringgit menurun sebanyak 0.2 peratus, seiring dengan penurunan nilai mata wang serantau yang lain.

Namun, menurut beliau, nilai ringgit meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding sekumpulan mata wang rakan perdagangan utama, seperti yang ditunjukkan oleh kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER).

Tambah Abdul Rasheed, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 4.2 peratus berbanding 3.7 peratus pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, ia disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 5 peratus.

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh peningkatan dalam pinjaman modal kerja kepada bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Yang penting, pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan pada kadar 6.7 peratus dan bagi isi rumah, pinjaman terkumpul bertambah sebanyak 5.4 peratus, mencerminkan pertumbuhan stabil merentas tujuan utama pinjaman,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast