Seorang wanita warga emas maut selepas terjatuh dalam sebuah telaga di belakang rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Baling kelmarin.

BALING – Seorang wanita warga emas maut selepas terjatuh dalam sebuah telaga di belakang rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di sini kelmarin.

Mangsa, Umi Kalsom Jasin, 80, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, berdasarkan keterangan waris mangsa, wanita berkenaan dilaporkan hilang selepas keluar memotong rumput pukul 12.30 tengah hari.

“Waris melakukan pencarian dan menemui mangsa di dalam perigi di belakang rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

“Pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa dan kawasan sekitar bagaimanapun tidak menjumpai unsur jenayah sebelum mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shamsudin, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette