Peserta KAWAN 2023 dari POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

SHAH ALAM – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Institusi Pendidikan Indonesia menganjurkan karnival keusahawanan (KAWAN) 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) baru-baru ini.

Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ts. Zainah Rujihan berkata, POLYCC mengambil inisiatif untuk menganjurkan karnival keusahawanan tersebut bagi membudayakan ilmu dan amalan terbaik perniagaan kepada para pelajar.

“Mereka yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perlu menerapkan nilai-nilai etika, keadilan dan tindakan yang baik tanpa mencari keuntungan semata-mata bagi membantu memacu ekonomi Madani.

“Karnival ini turut menjadi platform penting untuk pelajar mendapatkan lebih pendedahan dan pengalaman menerusi sesi perkongsian dan pameran yang diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 200 pelajar POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyertai KAWAN 2023.

Menurut Zainah, KAWAN 2023 mengangkat tema “Usahawan Madani Pemacu Ekonomi” bagi mencerminkan semangat keusahawanan yang diterapkan dalam rangkaian nilai dan etika yang baik di mana kejayaan perniagaan adalah selari dengan kesejahteraan masyarakat.

Program yang diadakan secara hibrid itu turut disertai kira-kira 100 orang mahasiswa Universitas Pamulang, Indonesia dengan matlamat melihat pelajar di kedua-dua negara berani mengambil risiko menjalankan perniagaan peringkat antarabangsa.

KAWAN 2023 juga menampilkan usahawan-usahawan graduan dan pelajar daripada kedua-dua negara yang telah berjaya menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast