KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedia menggerakkan aset-aset strategik dan mobiliti warga kerjanya bagi menangani musim tengkujuh yang dijangkakan bulan ini hingga Mac tahun depan.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, bagi persediaan awal menghadapi musim monsun timur laut, pihaknya menyediakan 247 set janakuasa mudah alih, 279 unit lori, 38 buah bot, 296 set janakuasa bergerak dan 885 unit kenderaan pacuan empat roda.
“Warga kerja teknikal TNB yang terlibat dengan tugas-tugas penghentian sementara dan penyambungan serta pemulihan bekalan akan diberikan dengan 108 unit lampu limpah serta 10 unit telefon satelit.
“Kami telah meneruskan pelbagai tindakan seperti peningkatan tapak pencawang, pemasangan penghadang banjir dan pelaksanaan penandaan aset untuk memudahkan pemantauan perubahan arah aliran banjir.
“Langkah-langkah diambil demi meningkatkan pengurusan bencana banjir serta mengurangkan kerosakan pada pepasangan TNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Nazmy, TNB sedia untuk membuka bilik gerakan dan menggerakkan pasukan di kawasan yang terjejas sekiranya berlaku banjir.
Lokasi-lokasi strategik yang tidak mungkin ditenggelami air telah dijadikan tapak sebagai stor sementara, pusat peralatan ujian dan pusat pengagihan kerja.
“Petugas bilik gerakan dan barisan hadapan TNB juga berada dalam situasi siap siaga. Kami turut mengenal pasti sistem yang memerlukan keutamaan untuk tindakan penutupan dan pengasingan bekalan,” ujarnya.
Selain itu, Wan Nazmy memberitahu, perancangan awal dibuat untuk pergerakan set janakuasa bergerak dan mudah alih ke kawasan-kawasan strategik.
Katanya, TNB juga mengawasi amaran cuaca melalui melalui Analisa Banjir dan Penilaian Risiko (Flood Analysis & Risk Assessment, FARA) serta mendapatkan maklumat dari Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). – MalaysiaGazette