Roseline (berdiri dua dari kanan) melihat langkah pengendalian perpustakaan digital selepas Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dan Penyerahan Bantuan Awal Pengajian di Unimas hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi meneruskan pengajian.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian serta upacara perasmian dan gimik penyerahan telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Rosaline Neging sempena Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dan Penyerahan Bantuan Awal Pengajian.

Turut hadir pada sesi itu Penolong Naib Canselor (Kepimpinan Dan Pembangunan) UniMAS, Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman; Pengarah Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), Levas Anak Mejus; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.

Sementara itu, Rosaline berkata, diharapkan dengan pemberian insentif itu ia sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk meneruskan sesi pengajian dan secara tidak langsung memberi semangat dan motivasi pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

“Setiap pelajar yang menerima insentif kewangan pada hari ini boleh menggunakan bantuan tersebut untuk membeli kelengkapan alatan pembelajaran yang masih belum mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

YBR sentiasa cakna dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan untuk mendapat kualiti pendidikan yang sama rata.

Bantuan itu melibatkan 100 pelajar semester 1 hingga 3 di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari kalangan keluarga B40 dan pemilihan mereka telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal
Ehwal Pelajar Unimas.

Pada majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama ‘SIR Corner’ telah menyumbangkan set kelengkapan ‘SIR Corner’ kepada Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY) dengan matlamat membantu seluruh pelajar UniMAS dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.

Menurut Rosaline lagi, inisiatif memartabatkan mutu pendidikan seharusnya diberi penekanan melalui suasana pembelajaran di universiti dengan sumber yang mencukupi serta mudah untuk mengakses maklumat.

“Oleh itu YBR telah mengambil langkah berkerjasama bersama UniMAS dengan mewujudkan satu sudut bacaan digital yang diberi nama ‘SIR Corner’ sekali gus menjadikan UniMAS merupakan universiti yang pertama di Sarawak untuk mempunyai
sudut bacaan ini,” katanya.

YBR juga telah memperuntukkan sebanyak RM350,000.00 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital SIR dari pihak pembekal.

Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar-pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi. – MalaysiaGazette