KUALA LUMPUR – Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengakui menjadi ‘kambing hitam’ dalam video tular yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Penolong Pegawai J-KOM yang berusia 33 tahun itu turut mengakui video terbabit telah disunting atas arahan individu yang dikenali Mr. H sebagai komplot untuk menjatuhkan Mohammad Agus.
“Saya diarahkan untuk membuat satu rakaman perbualan video bersama Mohammad Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat di dalam aktiviti sonsang dan tidak bermoral. Hakikatnya video tersebut adalah video yang tidak mempunyai audio.
“Komplot untuk menjatuhkan beliau ini didalangi oleh individu berjawatan tinggi di dalam J-KOM sendiri yang saya namakan sebagai Mr. H.
“Sekitar November lalu, saya berjumpa Mr.H di pejabat beliau dan bermula daripada situ beberapa pertemuan diaturkan Mr. H termasuklah dibawa ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan individu-individu yang berpengaruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang diadakan bersama Mohammad Agus di sini malam ini.
Tambah Abdul Wahab, Mr. H turut meyakinkannya mendapat sokongan beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Mohammad Agus sekiranya berjaya membuat rakaman itu.
“Saya terkejut apabila mendapati rakaman video tersebut telah disebarkan malah ia telah disunting dan diedit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan teknik voice over.
“Saya ingin menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka dan tidak benar. Saya kini sedar saya telah dipergunakan dan tidak lebih sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Mohammad Agus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung penularan video itu.
Sementara itu, Mohammad Agus memaklumkan beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang dekat sini petang tadi.
Justeru beliau menyerahkan segala tindakan dan siasatan kepada peguamnya dan pihak polis.
Mohammad Agus turut mengesahkan beliau mengenali individu yang digelar Mr. H dan beberapa individu yang berkomplot untuk menjatuhkannya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: