Tangkap layar menunjukkan beberapa individu sedang memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang wanita yang didakwa disengat tebuan di Bukit Gambir di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Polis menafikan dakwaan seorang wanita maut akibat disengat tebuan ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Gambir di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V.Saravanan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pukul 6 petang memaklumkan wanita berusia 58 tahun maut dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Siasatan awal mendapati mangsa cedera di bahagian tangan akibat disengat tebuan manakala seorang lagi lelaki terkena pada bahagian kaki.

“Bagaimanapun, wanita itu rebah di lokasi sebelum dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut namun dia dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan itu.

Saravanan.

“Susulan itu, pihak hospital melakukan proses bedah siasat ke atas mangsa pada jam 10.15 pagi tadi dan punca kematian mendapati akibat acute pulmonary edema (paru-paru berair),” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Saravanan, pemeriksaan doktor juga tidak menjumpai sebarang kecederaan lain serta unsur jenayah dalam insiden tersebut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita minta orang ramai agar tidak menularkan video kejadian mangsa rebah di lokasi yang boleh mendapatkan kegusaran kepada orang awam,” katanya.

Semalam tular di media sosial video berdurasi 10 saat memaparkan beberapa individu memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang wanita yang didakwa disengat tebuan ketika mendaki di kawasan Bukit Gambir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast