Nurul Ain Haron (kanan) bersama suaminya yang merupakan penduduk Palestin, Mohamed AM Shaat (tengah) pada Dialog Gaza Di Hatiku di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur. Foto NUR SYADILA AMARI, 18 NOVEMBER 2023.

AMPANG – Rakyat Malaysia yang pernah berada di kawasan konflik Gaza, Nurul Ain Haron memberitahu nama negara ini kini meniti di bibir penduduk Palestin kerana menjadi antara penyokong kuat negara itu selepas diserang Israel sejak bulan lalu.

Beliau yang pulang ke negara ini bersama suaminya warga Palestin, Mohamed AM Shaat berkata, penduduk di sana mengucap terima kasih atas sokongan dan bantuan yang tidak putus-putus dan sentiasa mengalukan kehadiran rakyat negara ini ke sana.

“Di sana mereka tahu Malaysia adalah penyokong kuat Palestin dan mereka sendiri menyampaikan salam dan berterima kasih kepada Malaysia.

“Kalau boleh tengok di Facebook saya anak-anak kecil mengucapkan Malaysia dan selamat datang ke Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dialog Gaza Di Hatiku di Dataran Surau Al-Mukarramah di sini hari ini.

Malam Selasa lalu, pasangan suami isteri itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 12 November lalu, Nurul Ain, 37, dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Mengenai perancangan masa depan, Nurul Ain berkata, beliau sedang menguruskan sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia manakalanya suaminya akan pulang ke  Dubai pada 26 November untuk kembali bekerja.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan wang secara tunai yang memudahkan proses penghantaran yang mungkin diserahkan kepada abang iparnya di Palestin.

Pada masa sama, beliau telah menghubungi pembekal makanan di sana untuk memindahkan sumbangan wang tunai secara terus untuk membeli barang keperluan.

“Namun seperti yang ketahui talian internet dan hubungan komunikasi telah terputus dan sejak pulang ke negara ini, saya tidak dapat menghubungi keluarga suami di sana untuk bertanya khabar,” katanya.

Sehingga hari ini, serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-43 dengan angka terkini menunjukkan lebih 12,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, lebih 30,000 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu.

Sekatan Israel juga mengakibatkan bekalan bahan api, elektrik dan air terputus selain mengurangkan penghantaran bantuan ke wilayah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast