KEMAMAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon, manakala Pas yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri yang juga Naib Presiden parti itu menyerahkan borang pencalonannya pada 9.04 pagi diikuti Raja Mohamed Affandi pukul 9.08 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.
Sesi penyerahan borang penamaan calon tamat pada 10 pagi diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air meraih 506 undi. – Bernama