Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Nurulhidayah.-MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah mengesahkan ayahnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sihat selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu.

Menurut Nurulhidayah, Ahmad Zahid sepatutnya menjalani prosedur pembedahan lebih awal namun terpaksa berbuat demikian akibat kekangan masa dan jadual yang padat.

“Begitulah abah. Kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Bagi kami sekeluarga, inilah masa yang sebaiknya kami gunakan untuk bersama menyantuni abah.

“Menjadi sumber semangat abah untuk kembali pulih dan sihat agar dapat meneruskan khidmat kepada negara.

“Abah punya semangat juang yang terlalu tinggi tetapi selalu lupa yang dia adalah individu yang memerlukan gaya hidup yg sihat – pemakanan seimbang, aktiviti riadah dan rehat yang mencukupi,” katanya melalui perkongsian di Instagram.

Beliau berharap segala pengorbanan dan perkhidmatan ayahnya kepada agama, masyarakat dan negara gantikan oleh Allah dengan pahala yang berlipat ganda.

Nurulhidayah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak prihatin terhadap kesihatan bapanya dan berkongsi berita itu di media sosial.

Bagaimanapun beliau menasihatkan kepada pihak terbabit supaya tidak ‘bermain’ dengan berita mengenai kesakitan dan kematian seseorang.

“Jangan suka-suka mendoakan yang tidak baik. Berita yang tak pasti dan tak sahih jangan kongsi. Apa sahaja doa yang baik atau tidak baik itu akan kembali kepada kita.

“Semoga Allah menjauhi kita dan keluarga kita dari sakit yg memudaratkan serta terus melindungi kita semua dunia akhirat. Amin ya Rabb,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Nurulhidayah bagaimanapun tidak menyatakan prosedur pembedahan yang dijalani oleh Ahmad Zahid- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast