KUALA LUMPUR – Perpaduan antara kaum yang terbina selama lebih enam dekad lalu semenjak negara mencapai kemerdekaan harus dipelihara daripada dimusnahkan oleh anasir-anasir jahat.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Pusat Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, segala isu atau perkara kecil yang berbangkit perlu diselesaikan atas semangat perpaduan dan tidak seharusnya dibesarkan sehingga boleh mencetuskan masalah besar.
“Semangat perpaduan antara kaum membabitkan tiga bangsa utama merupakan asas ke arah membentuk negara maju dalam segala aspek khususnya madani dan setiap antara kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara dan memastikan ia daripada tidak diganggu gugat oleh akibat anasir luar.
“Demi mengukuhkan perpaduan itu agar terus kekal utuh, masyarakat di negara ini termasuk di Parlimen Hulu Selangor perlu elak persengketaan dan berdiri teguh serta tidak memberi ruang kepada mana-mana anasir jahat untuk meracuni dan merosakkan semangat perpaduan yang terjalin selama ini.
“Sambutan perayaan seperti Deepavali bersama-sama dengan masyarakat majmuk dengan semangat madani bukti jelas kita dapat membentuk mengekalkan perpaduan dan kemajmukan itu sejajar dengan aspirasi yang diidamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memajukan negara mengapai kegemilangan bersama konsep rakyat madani,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Deepavali Madani Parlimen Hulu Selangor 2023 anjuran Penyelaras Parlimen Hulu Selangor di Antara Gapi, Serendah di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor Puvanesvaran Patchimuthu itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
Saifuddin dalam ucapannya pula memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Penyelaras Parlimen Hulu Selangor itu yang berjaya menyatukan masyarakat setempat yang majmuk di sambutan Deepavali.
“Jika kita boleh hasilkan persembahan terbaik atas pentas malam ini dan menyatukan masyarakat setempat maka adalah tidak mustahil untuk kita terus hidup bahagia mengukuhkan keharmonian ini selama-lamanya.
“Tetapi jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada anasir jahat di luar menguasai kita dengan dakyah negatif sehingga boleh menganggu gugat perpaduan kita yang terbina dan terpelihara selama ini.
“Inisitiaf menyatukan masyarakat berbilang kaum berkumpul dan meraikan sambutan Deepavali sebagai satu keluarga Madani di Parlimen Hulu Selangor langkah yang tepat pada masanya untuk kita pastikan hubungan silaturrahim yang terjalin ini terus kekal utuh.
“Demi memastikan perpaduan dan keharmonian ini terus terpelihara, jangan sesekali membenarkan hal-hal atau masalah kecil dibesarkan dan menjadi barah kepada asas perpaduan kita yang terjalin selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette