Keadaan rumah mangsa yang dirompak.

KUALA LUMPUR – Lima lelaki ditahan reman selama lima hari disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah kedai di Jalan Mewah 3, Taman Ampang Mewah di sini baru-baru ini.

Polis Daerah Ampang Jaya dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai kejadian yang berlaku pukul 4.30 pagi 15 November lalu.

Katanya, pengadu yang bekerja sebagai pembantu runcit telah dimaklumkan oleh teman wanitanya terdapat lima lelaki masuk ke rumah sewa mereka.

“Pengadu balik ke rumah dan dapati pintu rumah telah rosak dan terbuka. Pengadu lalu masuk ke dalam rumah dapati lima lelaki tidak dikenali sedang memukul dua lelaki Myanmar tidak dikenali di ruang tamu rumah.

“Salah seorang suspek telah masuk ke bilik pengadu, mengambil beg dompet yang berisi wang tunai lebih kurang RM400 dan topi keledar yang berada dalam rumah,” katanya.

Seterusnya kesemua suspek beredar meninggalkan rumah tersebut dengan membawa dua lelaki Myanmar.

Pada hari sama, lebih kurang pukul 10 pagi satu pasukan polis dari Balai Polis Ampang telah menangkap lima lelaki berumur 24 hingga 26 tahun yang bekerja sendiri.

Pihak polis telah merampas satu kereta, dua topi keledar dan satu batang paip PVC.

Semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod narkotik, suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah.

Suspek ketiga mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod narkotik, suspek keempat tiada rekod jenayah dan suspek kelima mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod narkotik.

Manakala ujian air kencing kelima-lima suspek dapati negatif dadah.

“Siasatan mendapati, semasa kejadian suspek dalam keadaan mabuk telah memukul dua lelaki Myanmar tidak dikenali juga dalam keadaan mabuk semasa di bawah rumah kedai.

“Suspek telah membawa dua lelaki Myanmar naik ke tingkat atas dan memecah masuk ke dalam rumah pengadu dengan alasan rumah tersebut telah mencampakkan pasir dari tingkat atas rumah. Suspek juga mengambil barang serta wang tunai dalam rumah pengadu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 395 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan rompakan berkumpulan.

Jika sabit keselahan boleh dipenjara maksimu dua puluh tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette