Lebih 300 pengayuh beca berlesen Melaka diingatkan supaya tidak terlalu kerap memasang lagu dangdut sehingga mendapat aduan dalam kalangan pelancong.

MELAKA – Lebih 300 pengayuh beca berlesen di negeri ini diingatkan supaya tidak hanya memasang lagu dangdut sehingga mendapat aduan dalam kalangan pelancong.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sikap segelintir ‘duta kecil’ itu boleh mencacatkan usaha kerajaan negeri untuk menarik pelancong menjelang tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024.

“Kita nak perkenalkan budaya Melaka, sesekali nak pasang lagu dangdut tu bolehlah tapi janganlah sepanjang masa pasang kuat-kuat sampai penumpang beca pun tak selesa.

“Boleh pasang lagu-lagu Dondang Sayang, lagu tradisonal lain malah itu antara syarat yang akan kita tetapkan untuk dapat lesen atau permit beca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 dan Program Pembaharuan Lesen Beca MBMB 2024 di Jalan Kota, Banda Hilir di sini hari ini.

Abdul Razak Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata kerajaan negeri sedia untuk pendrive (pemacu pena) mengandungi lagu-lagu tradisional seperti sebelum ini.

“Lepas ni, kalau nak pasang lagu-lagu selain dari itu, pasanglah tengah-tengah malam bila tiada pelancong kerana beca ini adalah petugas barisan hadapan menjelang TMM2024,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan persatuan beca di negeri mengikut harga yang sudah diselaraskan untuk membawa penumpang iaitu RM40 bagi satu jam perkhidmatan itu.

“Ini saya lihat ada setengah beca tu, harganya kayangan sebab merasakan sesetengah pelancong itu boleh ‘disembelih’ (bayar mahal).

“Kita nak selaraskan kalau RM25 (kurang satu jam) semua ikut harga itu bukannya ada yang RM25 hingga RM50,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast