KUALA LUMPUR – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengulangi pendirian akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasan beliau.

Syed Abu Hussin yang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa berkata, beliau masih menunggu kata putus daripada pihak Kerajaan Madani berhubung permintaan beliau.

“Saya sekarang minta macam-macam, apakah kerajaan bersetuju atau tidak. Kalau tak minta kerajaan pun tidak setuju, minta dengan baik pun tidak bagi, mintak dengan kasar pun tidak bagi. Nak mintak macam mana?

“Dalam permintaan yang lepas, saya minta luluskan rakyat saya untuk Bukit Gantang, dua pusat kesihatan, ini saya boleh sokongan kerajaan PMX. Tapi tidak ada jawapan, secara terang-terangan (saya minta peruntukan) tapi secara senyap boleh dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, sokongan itu akan diberikan jika permohonan peruntukan RM30 juta di kawasannya diluluskan di bawah Belanjawan 2024.

Jelasnya, permohonan peruntukan itu meliputi kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Selain itu, beliau juga memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.

Syed Abu Hussin Hafiz pada 9 November lalu menegaskan kesediaannya untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Ia selepas empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan) menyatakan sokongan terhadap Anwar. – MalaysiaGazette