ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketiadaan semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat hari ini mencetuskan kekecohan sebelum sidang berehat pada sesi pagi.

Namun, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bangkit mempertahan tindakan pembangkang yang tidak hadir pada mesyuarat Dewan Rakyat sebelah pagi tadi.

Ahmad Fadhli kemudian bertanya jika menteri-menteri dalam Kabinet juga boleh dianggap sebagai ponteng kerana tidak kelihatan dalam Dewan Rakyat kecuali Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

“Kalau dikatakan ponteng, bolehkah dikatakan semua menteri yang tidak hadir kecuali menteri KKM, ponteng pada masa ini?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadhli bangkit dalam celahan semasa Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin secara sinis menjawab kemungkinan menteri-menteri yang tidak hadir kerana sibuk ‘mengagih peruntukan’.

“Mungkin menteri sibuk untuk mengagihkan peruntukan,” katanya.

Syed Abu Hussin sebelum itu dalam perbahasannya memberitahu bahawa ahli Parlimen pembangkang selalu hadir ke mesyuarat Dewan Rakyat, bagaimanapun, hanya hari ini mereka pergi ke Istana Kehakiman di Putrajaya untuk memberi sokongan solidariti berhubung hukuman jenayah syariah.

“Tapi kami dikatakan ponteng,” katanya.

Dewan Rakyat lengang di sesi pagi tadi tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang sedang berlangsung.

Difahamkan, kesemua wakil rakyat pembangkang hadir bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. – MalaysiaGazette