Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia memberi laluan jika ada mana-mana pihak mahukan jawatan yang disandangnya sekarang.

Beliau juga menolak dakwaan wujud pakatan dari dalam untuk membunuh kerjaya politknya.

“Biarpun Bersatu masih baharu, tetapi perlembagaan parti ini membenarkan jika ada mana-mana pihak merasakan mampu memimpin seterusnya menentang jawatan presiden.

“Saya pun tak akan kekal lama. Kalau ada sesiapa yang mahu, sila bawa usul tidak percaya sekarang atau bertanding jawatan presiden pada sesi pemilihan bersatu tahun hadapan,” katanya menerusi program SKOP MG malam tadi.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam usaha merampas jawatan tersebut, Muhyiddin dengan tegas berkata, ia adalah asam garam dalam mana-mana parti.

“Inilah demokrasi dalam Bersatu yang kita amalkan sejak awal penubuhan.

“Jawatan Hamzah sebagai setiausaha agung itu saya yang bagi. Jadi, setiausaha agung kenalah taat pada parti dan presiden,” katanya lagi.

Muhyiddin tampil menerusi program SKOP MG yang dikendalikan Haslina AR Kamaludin malam tadi. Foto FAREEZ FADZIL.

Jelas beliau lagi, mungkin Hamzah sering dilihat berada di hadapan kerana jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.

“Jawatan Ketua Pembangkang pun saya yang bagi. Sudah beberapa tahun berlalu, tidak ada masalah.

“Tiada isu besar dalam Bersatu seperti dakwaan sesetengah pihak kerana parti itu dipimpin dengan baik hingga ke saat ini.

“Ada parti lain yang lebih besar masalah mereka. Saya kira masalah begini memang berlaku dalam mana-mana parti politik.

“Saya juga sudah memimpin dengan baik. Parti semakin kukuh, kita cipta kemenangan besar semasa pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan menerusi Perikatan Nasional sudah membuktikan mereka semakin diterima dan menolak parti lama sedia ada.

“Kita sudah buktikan, empat negeri kita menang pada pilihan raya dan di Selangor kita hampir-hampir menang.

“Jadi, sebagai pemimpin, saya sudah buktikan kemampuan saya,” jelasnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast