Ratusan orang ramai berkumpul di hadapan Istana Kehakiman pagi ini untuk mendengar ucapan pemimpin NGO dan Perikatan Nasional sempena Himpunan Selamatkan Syariah pagi ini.

PUTRAJAYA – Pemimpin-pemimpin NGO hari ini bergabung dengan pimpinan parti-parti politik pembangkang dalam Perhimpunan Selamatkan Syariah di hadapan bangunan Perbadanan Putrajaya di sini.

Bermula sejak pukul 9 pagi, himpunan itu dihadiri lebih 1,000 orang yang terdiri daripada penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Himpunan aman itu bagi mempertahankan undang-undang syariah yang dicabar pihak tertentu, susulan petisyen seorang peguam dan anaknya apabila mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Difahamkan, ada dalam kalangan peserta himpunan datang dari Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Himpunan dimulakan dengan solat hajat.

Sesetengah peserta dilihat memegang bendera Palestin dan sepanduk “Pertahankan Enakmen Syariah Kelantan”.

Antara pemimpin pembangkang yang diihat menyertai himpunan itu, antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Ketika berita ini ditulis himpunan masih lagi berlangsung dan Tuan Ibrahim akan menyampaikan ucapan akhir.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan.

Dua beranak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Peruntukan itu antara lain ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen.

Mereka berhujah undang-undang jenayah terbabit merupakan bidang kuasa Parlimen, justeru mahu mahkamah tertinggi itu mengisytiharkan peruntukan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah. – MalaysiaGazette