Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya WCE seksyen 6 persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika di Plaza Tol WCE Assam Jawa, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2023.

KUALA SELANGOR – Kerajaan akan meneliti tuntutan 18 syarikat konsesi lebuh raya agar pampasan dibayar secara tunai dan bukannya rebat cukai bagi pelaksanaan tol secara percuma selama sembilan hari yang diwartakan setiap tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Nanta Linggi berkata, perkara itu belum dimuktamadkan walaupun syarikat konsesi terbabit sudah melakukan perbincangan dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

“Apabila mereka (syarikat) buat tuntutan seperti ini, ianya perlu diperhalusi dengan peringkat atasan lain dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Assam Jaya, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di Jeram, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 dari persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lebuhraya WCE, Datuk Ir Hamzah Hasan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan dipercayai telah bertemu wakil pemegang konsesi untuk membincangkan mekanisme pampasan, namun tiada keputusan dibuat setakat ini.

Sembilan hari tol percuma itu adalah dua hari untuk Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, dan satu hari untuk Hari Kebangsaan.

Syarikat-syarikat konsesi yang menguruskan 33 lebuh raya di seluruh negara telah dimaklumkan perkara itu secara lisan sahaja.

Bagaimanapun syarikat konsesi dipercayai kecewa kerana kerajaan tidak berunding dengan mereka terlebih dahulu untuk menyusun mekanisme pampasan sebelum melaksanakan hari tol percuma. – MalaysiaGazette