Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed, (keempat dari kiri) menerima Pengiktirafan Khas daripada Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat. Datuk Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif (lima dari kiri) Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. - Foto Think City

GEORGE TOWN – Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed menerima Pengiktirafan Khas daripada Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN- Habitat).

Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai penghargaan bagi kepimpinan serta sumbangan Hamdan dalam usaha penjanaan semula bandar.

“Hamdan melambangkan teras misi UN- Habitat untuk memupuk bandar dan bandar raya yang mampan dari segi sosial dan kelestarian alam sekitar, yang selaras dengan Agenda Bandar Baru.

“Ini bertujuan untuk mengoptimumkan bandar bagi pembangunan lestari dan juga merangka langkah penting untuk memastikan bandar dan penempatan manusia mendorong pelaksanaan SDG. Saya amat bangga untuk memberi penghormatan kepada sumbangan beliau dalam bidang ini,” kata Maimunah.

Setiap tahun UN-Habitat mengiktiraf sumbangan cemerlang kepada penempatan manusia melalui Pengiktirafan Khas iaitu sijil yang dianugerahkan oleh Pengarah Eksekutif.

Majlis penyampaian berlangsung di ibu pejabat Think City, Wisma UAB, George Town hari ini yang turut disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sementara itu Hamdan melahirkan perasaan syukur dan berkata, bekerja dengan Think City telah membolehkan beliau untuk mengukuhkan komitmen dalam membentuk dasar perbandaran, memupuk perkembangan masyarakat awam dan membentuk impak pelaburan.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mercu pencapaian peribadi tetapi merangkumi dedikasi kolektif Think City dan aspirasi bersama untuk pembangunan bandar yang berdaya huni.

Di bawah kepimpinan Hamdan, Think City berjaya melaksanakan lebih daripada 250 projek dan memberi nafas baharu kepada bandar.

Think City antaranya memainkan peranan penting dalam transformasi Pulau Pinang termasuk Program Transformasi George Town, pemuliharaan Esplanade Seawall, Projek Pemulihan Fort Cornwallis dan Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semulajadi untuk Kawasan Bandar Pulau Pinang (PNBCAP).

Tranformasi itu menjadikan George Town mengalami perubahan ketara sejak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008.

Inisiatif Think City yang berkesan bukan sahaja telah menjana semula George Town tetapi juga meletakkannya dalam senarai 10 Tempat Terbaik untuk Dikunjungi di persada antarabangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast