CYBERJAYA – Umat Islam perlu menjadi penganut agama yang kuat untuk mengalahkan Israel dan sekutunya dalam jangka masa panjang.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, menjadi satu fardu kifayah atau kewajiban bukan sahaja untuk mempertahankan negara sendiri tetapi juga saudara Islam dan negara Islam yang lain.
Justeru menurut Mahathir, umat Islam mempelajari dan mempunyai kelengkapan moden seperti kereta kebal, pesawat dan senjata.
Pada ketika ini semua peralatan tersebut terpaksa dibeli daripada negara sekutu Israel seperti Amerika Syarikat yang hanya menjual peralatan yang tidak boleh digunakan untuk menentang mereka.
“Untuk jangka panjang umat Islam perlu tunai fardu kifayah iaitu di masa kita hidup didunia ini, kita perlu menentukan kita selamat.
‘Kalau kita tak selamat sehingga orang kita berhijrah, bukan ke negara Islam tetapi bukan Islam yang dipercayai di sana lebih selamat.
“Sepatutnya orang Islam apabila menghadapi masalah dalam negara, mereka berhijrah ke negara Islam yang lain tetapi mereka dapati negara Islam lain tidak aman, tidak kuat dan tidak boleh beri perlindungan kepada mereka,” kata Mahathir.
Beliau berkata demkian dalam forum Bicara Khas Negarawan dan Majlis Serahan Dana Aid4Palestin bagi membantu rakyat Palestin di Gaza di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Aid4Palestine Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mahathir berkata, ketika ini tidak ada negara Islam yang kuat untuk menahan Israel daripada terus menzalimi penduduk Palestin di Gaza.
Katanya jika terdapat sebuah negara Islam yang kuat dan menjadi kuasa besar seperti Turki satu ketika dahulu, negara Islam dan umat Islam tidak akan dizalimi seperti yang dialami di Palestin, China dan India.
“Kalau nak ikut ajaran agama kita yang menyuruh melindungi orang Islam, kita juga perlu mempunyai kebolehan untuk mempertahankan umat Islam di zaman ini.
“Percayalah kalau Turki umpamanya kembali menjadi kuasa dunia, saya fikir serangan Israel ke atas Palestin akan mengundang serangan balas Turki.
“Tetapi hari ini Turki pun belum mampu untuk mengambil tindakan kerana sudah tentu Amerika Syarikat akan melawan Turki jika tentera negara itu dihantar ke sana,” kata Mahathir.
Pada ketika ini negara dan umat Islam bukan sahaja tidak mampu untuk menghantar tentera malah untuk bercakap juga terhad kerana tidak mempunyai suara yang kuat dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.-MalaysiaGazette
Kena kuat menyakinkan Palestine supaya beri geran tanah kepada kibbutz seperti sehingga menyusutnya tanah rizab Melayu ke 12% kepada kibbutz termasuk kibbutz di Singapore di mana Leftenan Adnan mati katak kononnya demi a two-state solution. Syabas Azeris kuasai semula Nagorno-Karabah setelah sekian lama PBB gagal berbuat demikian.