Peguam, Faizal Abdul Rahman yang mewakili pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff bercakap kepada media selepas hampir 3 jam dirakam keterangan mengenai isu perbualan video lucah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 20 NOVEMBER 2023.

KAJANG – Peguam yang mewakili Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani berkata anak guamnya masih belum memberi keterangan kepada polis atas faktor keselamatan diri.

Faizal Abdul Rahman bagaimanapun enggan mengulas bila Abdul Wahab akan memberi keterangan namun memberitahu, individu itu akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Banyak faktor yang kita ambil kira terutamanya dari segi keselamatannya (Abdul Wahab).

“Apa pun pihak kami dan polis akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Sebelum ini , tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan lucah secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu beliau menemani Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) ,Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memberi keterangan kepada polis.

Dalam pada itu, Faizal yag enggan mengulas apabila ditanya sama ada Abdul Wahab menerima ancaman menyatakan Abdul Wahab berada dalam keadaan selamat ketika ini.

Sementara itu, Faizal yang juga mewakili Mohammad Agus memberitahu, satu laporan dibuat oleh pihaknya selepas mendapati terdapat kebocoran maklumat daripada polis berkaitan laporan yang dibuat anak guamnya itu sebelum ini.

Beliau mempersoalkan bagaimana laporan polis yang dibuat Mohammad Agus bocoe sedangkan kes masih disiasat Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Apa yang pasti adalah laporan polis yang bocor itu bukan salinan daripada pihak kami.

“Kita tidak mahu buat spekulasi. Apa yang pasti dokumen itu daripada pois dan mereka perlu bertanggungjawab atas kebocoran itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast