Bangunan Dewan Tuanku Canselor tempat berlangsungnya majlis Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-25 yang bermula 21 November 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 7,616 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah dan diploma pada Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-25 esok sehingga 29 November ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, majlis istiadat yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim akan dirasmikan Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Konvokesyen kali ini akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 graduan yang merangkumi 121 ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

“Daripada jumlah itu seorang akan menerima ijazah secara anumerta pada sesi kelapan pada 29 November,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada majlis istiadat sesi pertama itu, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada Tan Sri Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

“Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1983 kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom.

“Kemudian beliau memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1995 seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada tahun 2004 di universiti yang sama.

“Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, beliau pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan dan yang terakhir, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara bermula pada Ogos 2018 sehingga Disember 2019,” ujarnya.

Penerima watikah pelantikan, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Tambah Md Amin, Tuanku Zara juga akan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah dari tokoh dan pemain industri.

“Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian,” jelasnya.

Katanya, konvokesyen UPSI kali ini adalah sambutan kali yang ke-25 sekali gus menandakan sambutan Jubli Perak bagi universiti pendidikan tersohor tanah air itu.

Tahun lalu UPSI menyambut 100 tahun penubuhan bermula era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) seterus dinaiktaraf kepada UPSI pada 1997.

“Hari ini UPSI mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap dan kepakaran dalam bidang pendidikan sebagai usaha melahirkan graduan yang holistik untuk berkhidmat di sekolah-sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast