Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Awang Suffian Awang Piut bercakap pada sidang media awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

BANGI – Aman Palestin hari ini menjelaskan perbelanjaan kos pengurusan pihaknya hanya lapan peratus dan bukan 30 peratus seperti didakwa oleh setengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Susulan itu, ketua pegawai eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut menafikan dakwaan berhubung dana 30 peratus sumbangan awam telah diseleweng bagi tujuan peribadi atau di luar objektif penubuhan Aman Palestin.

Tegas beliau, fitnah tersebut melampau dan berniat jahat serta membina persepsi buruk untuk menjatuhkan imej Aman Palestin sekaligus menjejaskan privasi kakitangannya.

“Kos lapan peratus itu sebenarnya lebih kurang RM8 juta sepertimana saya sebutkan dalam kenyataan media, ia untuk mengurus sebanyak 200 orang kakitangan kita yang juga dikira sebagai belanja hangus dan untuk menguruskan 20 cawangan kita di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi itulah yang kita gunakan bagi kos pengurusan yang hangus,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Aman Palestin di sini hari ini.

Tambah Awang Suffian, kos pengurusan yang digunakan untuk setahun itu adalah suatu jumlah yang berpada, tiada kesalahan dari sudut undang- undang mahu pun agama.

Beliau juga menjelaskan, baki 22 peratus lagi yang digunakan Aman Palestin adalah untuk perbelanjaan operasi seperti menggerakkan kempen kesedaran, misi kemanusiaan, pameran bergerak dan program himpunan solidariti pelbagai peringkat.

“Adalah tidak logik jika organisasi ini hanya bergantung harap kepada pengurusan ibu pejabat sahaja untuk memenuhi jemputan ceramah dan pameran yang diterima setiap minggu di seluruh negara tanpa bantuan daripada cawangan-cawangan negeri.

Di samping itu, Aman Palestin juga bertindak satu langkah ke hadapan seperti NGO antarabangsa lain dengan menggunakan dana terkumpul untuk menerobos masuk ke media tempatan dan menggunakan alat bantuan publisiti seperti papan pengiklanan untuk meningkatkan kesedaran dan keterlihatan organisasi dalam masyarakat,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Awang Suffian Awang Piut (dua kiri) melancarkan kempen bantuan musim sejuk Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

Awang Suffian turut menegaskan, pihaknya menyalurkan terus kepada penduduk Palestin tanpa melalui kedutaan Palestin di Malaysia dan memastikan semua projek bantuan yang disalurkan mengikut prosedur operasi standard dan prosedur yang ditetapkan.

Ini kerana katanya, Aman Palestin mempunyai pejabat sendiri di sana yang membolehkan bantuan dihantar terus dengan lebih pantas ke Gaza, Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain yang memerlukan.

“Ingin sekali kami tekankan di sini bahawa adalah sangat mustahil jika wang sumbangan melalui Aman Palestin tidak sampai ke Palestin seperti dakwaan segelintir pihak.

“Hal ini kerana setakat ini Aman Palestin telah berjaya menyiapkan lebih dari 13 projek infrastruktur bertaraf mega di Palestin dengan perbelanjaan keseluruhan bernilai puluhan juta ringgit,” jelasnya.

Selain itu, Aman Palestin juga mengagihkan bantuan dalam bentuk program tahunan menerusi kempen Bantuan Ramadan Bersamamu, Bantuan Ibadah Korban di Bumi Anbia, Bantuan Musim Sejuk, Bantuan Bread for Love dan Tajaan Bulanan Kafalah (anak yatim,keluarga miskin, ibu tunggal dan dana pendidikan), yang turut disalurkan kepada pelarian-pelarian Palestin yang berada di Syria, Lubnan dan Yaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast