Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir perlu menerima hakikat bahawa tiada keperluan untuk melakukan rampasan kuasa pentadbiran kerajaan negeri daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tiada gunanya UMNO Sabah bersengkongkol dengan Warisan untuk menjatuhkan kerajaan negeri hingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila berlaku pertukaran kerajaan sudah tentu perancangan pembangunan akan terbantut dan ini sudah dibuktikan apabila Warisan menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Sebagai aktivis politik, saya amat berdukacita mengenang kembali peristiwa tindakan beberapa pemimpin UMNO Sabah bekerjasama dengan Warisan mahu menggulingkan Kerajaan Negeri Sabah dan mujur gerakan kudeta ini telah gagal.

“Adakah Suhaimi dan segelintir pemimpin UMNO Sabah lupa wajah sebenar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan? Insiden kerajaan BN digulingkan oleh Warisan selepas dua hari memerintah Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Suhaimi membidas kenyataan Hajiji yang cuba membangkitkan semula isu cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada awal tahun ini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, tindakan Hajiji membangkitkan isu cubaan rampasan kuasa seolah-olah seperti membuka pekung di dada sendiri.

Suhaimi meminta rakyat Sabah tidak lupa siapa sebenarnya kepimpinan Gagasan Rakyat hari ini yang bermula dengan UMNO dan seterusnya menyertai Bersatu sebelum bertindak menubuhkan Gagasan Rakyat apabila Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga mengingatkan Suhaimi tentang isu Sempornasisasi dengan melantik Timbalan Ketua Menteri Sabah yang berasal dari Semporna.

“Tindakan itu termasuk lantikan ke dalam jawatan tertentu pentadbiran juga asal Semporna dan mempunyai kaitan dengan Shafie Apdal.

“Kegagalan mengurus ekonomi sehingga kadar KDNK Sabah jatuh menjunam kepada 0.5 peratus yang asalnya 8.2 peratus. Paling utama adalah kegagalan membawa walau satu pun pelabur luar datang ke Sabah.

“Justeru saya cukup yakin bekerjasama dengan Shafie Apdal dan menikam belakang Hajiji adalah jelas satu tindakan salah yang telah dilakukan oleh Suhaimi dan pimpinan UMNO Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau main tabur duit dan beli ADUN kerajaan 2 jam pun boleh tumbang. Sebab tu sedarlah firi tu sikit

Comments are closed.