Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bukan semua produk boleh diboikot kerana ada yang tidak boleh diboikot.

Ahli Parlimen Pasir Mas (PN), Ahmad Fadli Shaari berkata, ada produk-produk keluaran Barat yang tidak dapat diboikot sepenuhnya walaupun mereka jelas menyokong Israel.

Ini kerana, perbuatan itu dilakukan dengan kesedaran dan rasa hati.

“Ada perkara yang kita tidak mampu nak boikot sebagai contoh penggunaan iPhone, Facebook, dan sebagainya. Apa yang kita boleh boikot, kita boikot, tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

“Malah jangan perlekehkan orang-orang yang nak laksanakan boikot ini kepada barangan yang dikeluarkan syarikat-syarikat menyokong Israel,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadli memberikan respons kepada perbahasan Chong Zhemin (DAP-Kampar) yang mempersoalkan Kerajaan Negeri Kelantan sama ada akan bertindak memboikot pengeluar kereta mewah Jerman, Mercedes-Benz yang jelas menyokong rejim Israel.

Zhemin ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa, Zhemin berkata, kerajaan negeri itu menggunakan kereta mewah tersebut bagi kereta rasmi kerajaan negeri.

Justeru itu, beliau menggesa agar Kerajaan Negeri Kelantan mengatakan pendirian mereka ekoran ‘memberi’ 1 juta euro kepada firma yang menyokong Israel baru-baru ini.

“Kalau nak boikot jangan double standard (jangan dua darjat), kalau nak boikot semua kena. Mercedes derma satu juta euro atau RM5 juta kepada Israel, saya nak tanya Kerajaan Negeri Kelantan masih nak pakai kereta mewah Mercedes ke tidak?

“Nak boikot atau tidak? Kalau nak boikot jangan double standard. Starbuck, McDonalds tidak makan dan Mercedes pun tidak perlu pakai, boleh? Duit sudah masuk Israel,’ kata Zhemin.

Pada 2020 lalu, kerajaan negeri mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Exconya. – MalaysiaGazette

Pemimpin Kelantan jangan ‘double standard’, kalau boikot jangan pakai Mercedes