Yazan Al-arab. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab digantung seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk dalam urusan pentadbiran, pengurusan, kesukanan bola sepak dan apa juga aktiviti berkaitan di Malaysia.

Hukuman berat itu dikenakan selepas pemain dari Jordan itu bertindak luar kawalan termasuk dirakam menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ pada 24 September lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu mengenakan dua pertuduhan ke atas Yazan.

“Melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah pengadil perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada pengadil perlawanan dan apabila pengadil perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada.

“Setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah pengadil perlawanan. Pemain ini digantung empat perlawanan bagi pertuduhan pertama.

“(Bagi pertuduhan kedua) digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia

“Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja,” katanya di Facebook FAM di sini.

Ketika ini, Yazan yang sudah pun tampil memohon maaf tidak lagi memiliki sebarang kontrak dengan Red Giants selepas pasukan itu mengambil keputusan menamatkan kontraknya dengan pemain itu sejurus kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette