Gambar hiasan

Oleh: Dr. Wan Izlina Wan Ibrahim

KITA sedia maklum yang konflik bersenjata memberi implikasi buruk yang mendalam kepada sejagat. Selain kehilangan nyawa dan organisasi sosial, kebinasaan dalam pelbagai aspek kehidupan, baik dari segi kesihatan fizikal dan juga mental, tidak dapat dielakkan. Kesan negatif ini tidak berhenti di situ sahaja, kemudahan infrastruktur, warisan sejarah dan ekologi juga terjejas akibat sikap buruk manusia.

Di sebalik impak yang ketara ini, sedarkah kita ikatan kasih ibu-anak yang terjalin daripada hubungan penyusuan ibu dan menyumbang kepada kesihatan bayi juga boleh turut terganggu akibat peperangan? Isu ini mungkin dianggap enteng oleh sesetengah pihak, kerana kehilangan nyawa dan sistem kesihatan terjejas adalah kesan-kesan yang lebih jelas dan sering mendapat perhatian. Namun begitu, sifat kemanusian memerlukan kita mengambilkira semua cabaran yang dilalui oleh pelbagai pihak untuk mengharungi saat-saat yang getir ini.

Kekurangan privasi dan keselamatan
Ibu-ibu yang berada di kawasan yang terjejas akibat perang menghadapi rintangan di mana mereka tidak dapat mengurniakan hadiah yang paling berharga kepada bayi mereka, iaitu susu ibu. Para penduduk terpaksa mencari perlindungan di khemah atau kem peperangan lanjutan dari kehilangan tempat tinggal. Selain tidak mempunyai tahap kebersihan yang memuaskan, seringkali penempatan sementara ini sesak, dan menyebabkan ibu-ibu mungkin menghadapi kekangan untuk menyusukan bayi mereka secara langsung (‘direct latching’) kerana kekurangan privasi. Selain dari ruang yang sempit dan tidak selesa, persekitaran yang tidak selamat juga boleh menghalang proses penyusuan bayi dengan sempurna.

Tekanan dan ketakutan
Kawasan konflik tentu saja menyebabkan ibu-ibu berdepan dengan tekanan atau stres, ketakutan dan kegelisahan. Ancaman keganasan mengganggu mental dan emosi para ibu, dan tekanan ini boleh menjadi kronik dan mengakibatkan penurunan kadar pengeluaran susu yang ketara. Ini menghalang pembekalan nutrien yang secukupnya kepada bayi. Masalah ini boleh diatasi dengan pemberian susu formula, tetapi alternatif ini adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan di zon peperangan. Ekoran dari peperangan, trauma psikologi juga turut mengganggu keseimbangan hormon ibu yang diperlukan untuk menghasilkan kuantiti dan kualiti susu ibu yang normal.

Kekurangan nutrisi pada ibu dan bayi
Akses kepada bekalan makanan dan air bersih terputus menyebabkan mangsa-mangsa peperangan mengalami kekurangan nutrisi. Bantuan yang dihantar oleh negara-negara luar sering kali sukar untuk dibawa masuk ke zon konflik. Tidak terlepas dari cabaran ini ialah ibu-ibu yang menyusukan bayi. Keutamaan nutrisi pemakanan akan pergi kepada ibu dahulu untuk kelangsungan fungsi tubuhnya, dan ini menyebabkan kandungan nutrisi dalam susu ibu yang dihasilkan berkurang. Ini akan menjejaskan kesihatan bayi, terutamanya kepada bayi yang bergantung sepenuhnya kepada susu ibu, pada enam bulan pertama kehidupan.

Kesan langsung terhadap kesihatan dan pertumbuhan bayi
Gabungan faktor-faktor di atas akan turut menyebabkan kesan langsung yang mendalam terhadap kesihatan serta pertumbuhan fizikal dan mental bayi. Bayi yang lahir atau membesar di kawasan konflik sudah tentu mempunyai kadar penyusuan ibu yang rendah, dan ini akan menyebabkan bukan sahaja kadar malnutrisi meningkat, tetapi juga kes jangkitan penyakit yang tinggi akibat tidak mendapat imuniti yang secukupnya dari susu ibu. Trauma, stress dan gangguan emosi yang dihadapi oleh ibu juga boleh dialami oleh bayi secara tidak langsung.

Gangguan perkhidmatan kesihatan dan sokongan kemanusiaan
Sistem penjagaan kesihatan memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan ibu dan bayi. Risiko timbul kerana kerap kali sistem kesihatan adalah yang pertama akan lumpuh di zon peperangan. Kekurangan petugas kesihatan boleh menjejaskan program sokongan penyusuan ibu. Ketiadaan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang penting seperti pemeriksaan berkala dan program imunisasi memudaratkan lagi kesihatan bayi. Inisiatif sokongan kesihatan yang berterusan perlu dipastikan, selain menawarkan perkhidmatan sokongan psikososial.

Kesimpulannya, implikasi peperangan terhadap penyusuan ibu dan kesihatan bayi tidak dapat dinafikan. Adalah penting untuk kita mengiktiraf daya tahan ibu dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, dan organisasi terlibat dalam bantuan kemanusiaan perlu bersedia dan jangan terlepas pandang dalam memberi sokongan yang diperlukan. Di dalam perjuangan kita demi keamanan dan kestabilan di kawasan yang dilanda konflik, janganlah kita mengabaikan suara bisu mangsa perang – bayi-bayi yang berhak mendapat permulaan hidup yang selamat dan penuh kasih sayang, walaupun berada di persekitaran yang memusuhi mereka.

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya dan ahli penyelidik kumpulan Breast Milk Research

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast