Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kanan) melakukan gimik pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian Surat Tawaran Penjaja Tahun 2023 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto MHD NA’IM,26 OKTOBER 2023.

INISIATIF penawaran program MyBrain 2.0 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan satu pencapaian membanggakan dalam sektor pendidikan tinggi Malaysia. Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta setiap ambilan pelaksanaan, program ini akan menyediakan peluang bernilai tinggi kepada mereka yang ingin meneruskan pengajian. Permohonan untuk penajaan yang dijangka akan dibuka pada Januari 2024 ini, telah membuka peluang kepada lebih ramai individu yang berminat dan menyasarkan sekurang-kurangnya 500 penerima biasiswa yang berkelayakan.

Umum mengetahui bahawa program biasiswa MyBrain mula diperkenalkan pada tahun 2011 bagi memperkasakan sektor pendidikan negara khususnya dalam melahirkan modal insan berkualiti. Namun, pada tahun 2016 penawaran biasiswa ini telah ditamatkan disebabkan beberapa kekangan dan ia mula mendapat pelbagai maklum balas dalam kalangan masyarakat terutama golongan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Penjenamaan semula MyBrain15 kepada MyBrain 2.0 dengan beberapa penambahbaikan dalam syarat permohonan dan penawaran mendapat sambutan baik dalam kalangan Masyarakat, bahkan langkah ini sangat sesuai dilaksanakan pada ketika ini.

Tatkala negara berdepan dengan trend pelajar lepasan Sijil Pengajian Malaysia (SPM) yang tidak berminat menyambung pengajian, tindakan kerajaan untuk menawarkan program biasiswa MyBrain di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) merupakan inisiatif yang tepat dan progresif sebagai usaha negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030. Penawaran MyBrain 2.0 pada kali ini melibatkan ruang lingkup lebih luas berbanding sebelumnya merangkumi golongan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Ini bermakna, penerima biasiswa MyBrain kali ini bukan sahaja terhad kepada mahasiswa yang baru bergraduasi semata-mata, tetapi golongan seperti suri rumah, peniaga kecil, yang bekerja sendiri, pekerja sektor gig turut mempunyai peluang sama rata untuk memohon dan menyambung pengajian. Kesedaran untuk menyambung pengajian merupakan satu langkah positif dalam usaha meningkatkan kualiti hidup serta produktiviti bagi memenuhi keperluan semasa. Di samping itu, penawaran biasiswa ini bakal menjadi titik permulaan motivasi dan semangat individu terutama dalam kalangan generasi Z yang layak dan berkeinginan tinggi untuk belajar tetapi tidak mampu untuk menanggung yuran pengajian.

Dari aspek perlaksanaan, program MyBrain 2.0 turut memastikan pelajar tajaan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Sesi temuduga dan tapisan berdasarkan kelayakan dan kriteria utama yang digariskan lebih teliti dan ketat untuk memastikan objektif penawaran mencapai objektif sasaran perlaksanaan. Bagi tujuan pemantauan dan laporan kemajuan pelajar, Sistem Biasiswa Bersepadu (SBB) akan digunakan. MyBrain 2.0 yang bakal dilaksanakan memberi kebebasan kepada calon untuk memilih tempat pengajian masing-masing sama ada di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Selain yuran pengajian, pelajar akan diberikan elaun sara hidup berjumlah RM1,000 sebulan sepanjang tempoh pengajian. Kemudahan kewangan yang diberikan untuk menjamin kelestarian sesi pembelajaran berjalan dengan lancar dan baik di samping mengurangkan bebanan kewangan sedia ada. Penambahbaikan yang dilakukan ini bukan sahaja memberi kebaikan yang besar kepada pelajar, bahkan turut memberi impak yang signifikan kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia dari sudut meningkatkan kemasukan pelajar siswazah secara umumnya. Dan yang lebih penting, IPTA dan IPTS boleh bersaing secara sihat dengan menggiatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan pendidikan yang lebih baik termasuklah mengemaskini dan mempertingkatkan strategi promosi pemasaran pelajar dan penyampain Pdp.

Transformasi pendidikan tinggi negara melalui MyBrain2.0

Program MyBrain adalah salah satu inisiatif biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia kepada golongan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sudah tentu objektif yang ingin dicapai adalah untuk memupuk bakat modal insan terbaik negara dalam usaha menghasilkan graduan berkualiti tinggi melibatkan multidisiplin bagi keperluan pembangunan landskap ekonomi dan sosial negara. Penajaan kewangan kepada pelajar merangkumi yuran pengajian, elaun sara diri, dan kos buku yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian berlangsung.

Objektif transformasi sistem pendidikan negara adalah sejajar dengan niat melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi. Hasil daripada program ini, negara akan melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan kompetitif bagi memenuhi keperluan Masyarakat 5.0 (Society 5.0). Sistem pendidikan negara menjadi tunjang penggerak kepada usul mewujudkan nilai Masyarakat 5.0. Ia perlu bermula dalam kalangan pelajar bagi memastikan mereka menjadi masyarakat pintar yang berasaskan kepada integrasi teknologi pintar dan manusia.

Natijah daripada integrasi ini bakal melahirkan masyarakat yang dikenali sebagai “mesin yang berjiwa”.  Biasiswa yang ditawarkan memberi penekanan kepada bidang-bidang pengajian kritikal yang dilihat relevan untuk merangsang penyelidikan dan inovasi yang membawa kepada perkembangan teknologi dan pengetahuan baru. Penerokaan ilmu yang melibatkan pelbagai tujahan bidang utama akan memastikan proses perlaksanaan dan penentuan hala tuju masyarakat yang hendak dibawa memenuhi aspirasi konsep peradaban masa depan.

Selain itu, ransangan kewangan melalui MyBrain 2.0 akan memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat pembangunan ekonomi dan sosial jangka panjang. Ia mendorong komuniti pelajar yang berkelayakan tinggi dan berpotensi, membentuk rangkaian profesional yang kuat melibatkan pemegang taruh dalam industri. Malahan, ia turut memberi peluang kepada mereka menjalankan kolaborasi dalam penyelidikan, penulisan ilmiah, projek-projek inovatif, pertukaran idea dan pengetahuan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Pelajar bukan sahaja akan mengguna pakai potensi penuh mereka, tetapi juga memberi sumbangan kepada transformasi pendidikan dan kemajuan negara secara holistik.

Akses peluang pendidikan kepada pelbagai segmen masyarakat mendasari perlaksanaan biasiswa ini terutama melibatkan golongan rentan seperti orang kelainan upaya dan golongan miskin yang mungkin tidak mampu menyambung pengajian tanpa bantuan kewangan. Penawaran pengajian yang ditawarkan adalah dalam bidang yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Transformasi dalam sistem pendidikan negara dilihat mencakupi pelbagai perubahan. Ia bukan sahaja tertumpu kepada perubahan pendekatan Pdp dan struktur kurikulum, malah melibatkan pendidikan teknikal dan vokasional untuk memastikan pelajar mempunyai kemahiran praktikal yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan. Justeru, MyBrain 2.0 yang ditawarkan menyumbang kepada pembangunan negara dengan menghasilkan tenaga kerja terlatih dalam bidang-bidang strategik yang diperlukan untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia Madani.

Oleh: Dr. Amani Nawi
Penyelaras Program Sarjana, Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Penyelaras Program Sarjana, Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast