KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai membuang air kecil iaitu kencing di tiang tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Subang Jaya dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada 19 November lalu, lebih kurang pukul 9.55 malam, pihaknya telah mengesan sebuah rakaman video tular berdurasi 50 saat memaparkan lelaki berkenaan kencing di tiang tempat letak kereta pasar raya berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 16 November lalu yang mana suspek disyaki seorang lelaki memakai baju warna hitam dan seluar pendek warna kelabu telah kencing tepi tiang tempat letak kenderaan seterusnya beredar ke arah keretanya jenis Mazda berwarna biru.
“Dalam rakaman video tersebut, terdapat perbualan di antara perakam dengan suspek yang mengatakan terdapat tandas dan suspek hanya menjawab minta maaf seterusnya beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, polis telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes sebagai kelakuan aib di tempat awam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
“Identiti suspek lelaki itu telah pun dikenal pasti dan suspek masih giat dikesan bagi membantu siasatan. Polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan aib dan kegusaran kepada orang awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette