KUALA LUMPUR – Tidak hanya melihat diri sebagai mahasiswa yang perlu menghabiskan pengajian demi segulung ijazah, seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) tampil dengan pelbagai program sukarelawan membantu komuniti setempat.
Pravhilan Gunasekaran yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa selain peneraju Persatuan Mahasiswa Hubungan Antarabangsa tampil komited dalam program sukarelawan yang dinamakan iSuccess.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Pravhilan yang juga seorang pemegang biasiswa Tunku Scholar berkata, program iSuccess direka khas bagi murid darjah empat hingga enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Kata mahasiswa itu, matlamatnya ialah mengenal pasti pelajar India di SJKT bagi terus memperkasa penguasaan Bahasa Melayu selain daripada mengembangkan daya pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar-pelajar yang dianggap berisiko.
“Semangat yang ada dalam diri saya didorong bukan sahaja untuk penambahbaikan komuniti dan keinginan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat sebaliknya saya sendiri sebagai seorang pelajar mahu merentasi sempadan akademik.
“Perubahan bukan sahaja terletak pada buku teks tetapi pada muhibah kolektif dalam kalangan pelajar-pelajar kita dan andai ianya dipupuk lebih awal, pastinya akan membuahkan hasil. Untuk makluman, daripada 5.5 juta remaja, sebanyak 25 peratus remaja dikategorikan sebagai kumpulan berisiko yang tidak ada latihan kemahiran pemikiran.
“Program iSuccess ini direka khas bagi pembangunan peribadi untuk pelajar India di sekolah Tamil bukan sahaja dari segi bahasa tetapi juga mendidik kemahiran komunikasi selain menyediakan alat dan kemahiran yang mereka perlukan untuk mengatasi cabaran dan mencapai potensi penuh mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Pravhilan, pada peringkat awal projek itu telah dilaksanakan selama lima minggu secara berterusan di SJKT Ampang dengan slot pertamanya adalah kelas interaktif Bahasa Melayu.
“Slot kedua kita fokus kepada personality development dengan lima modul kemahiran insania seorang murid iaitu komunikasi, displin, keyakinan diri, sikap dan kemahiran pemikiran kritis yang akan mempersiapkan diri murid-murid ini untuk menempuh zaman remaja mereka di sekolah menengah.
“Ini kerana kebanyakan murid yang bijak dan rajin akan terpesong dalam kehidupan mereka semasa zaman remaja mereka akibat daripada pengarauh rakan, sifat ingin tahu, tiada kemahiran membezakan baik buruk dan sebagainya.
“Dengan program sebegini kita dapat mempersiapkan murid-murid ini lebih awal kerana melindungi lebih baik daripada mencegah. Kajian soal selidik telah dilakukan untuk mendapat maklum balas peserta iSuccess, rata-ratanya menyatakan rasa seronok dan keyakinan diri,” ujarnya.
Pravhilan bertekad untuk terus membantu komuniti dengan mengenal pasti isu-isu yang sedang membangkit dan menyelesaikanya.
“Saya rasa kita sebagai seorang mahasiswa perlu menggunakan platform yang kita ada dengan lebih efektif. Mahasiswa bukan sahaja masuk kelas, belajar, habiskan tugasan malah mereka juga mampu membawa perubahan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Universiti saya UniSZA kerana sering menggalakkan mahasiswa untuk menjalankan projek komuniti selaras dengan prinsip uniSZA dalam melahirkan Mahasiswa Hero Komuniti,” ujarnya. -MalaysiaGazette