SEPANG – AirAsia baru-baru ini mengumumkan destinasi baharu ke bandar selatan India, Thiruvananthapuram atau Trivandrum.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus mengembangkan rangkaian di India melalui pelancaran laluan baharu ke Thiruvananthapuram.
Ia menjadikannya laluan terus kedua syarikat penerbangan itu ke Kerala selain 12 penerbangan mingguan ke Kochi.
Menurutnya, penerbangan pertama yang akan dilancarkan pada 21 Februari 2024 dengan empat penerbangan mingguan dijangka mendapat sambutan khususnya mereka yang ingin menerokai keindahan dan keunikan kota Kerala.
Laluan baharu ini menandakan laluan kesembilan AirAsia ke India secara keseluruhan dengan sejumlah 71 penerbangan mingguan.
“India merupakan salah satu destinasi paling popular di mana kami mempunyai bahagian pasaran sebanyak 47 peratus antara kedua-dua negara ini.
“Kami mengubah landskap perjalanan udara di India secara menyeluruh dan telah menghubungkan jutaan pengembara ke Malaysia dengan tambang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Riad, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri di India bagi mempromosi industri pelancongan dan akan memacu perjalanan udara ke Thiruvananthapuram serta bandar-bandar lain di negara berkenaan.
Sempena meraikan pencapaian menerbangkan kira-kira 800 juta tetamu sejak tahun 2001, AirAsia menawarkan tambang promosi hebat bermula hari ini sehingga 26 November ini.
Harga promosi bermula RM199 termasuk semua perjalanan sehala dengan daftar masuk 20 kilogram bagasi secara percuma.
Tempahan boleh dibuat untuk perjalanan antara 21 Februari 2024 dan 19 Mac 2025 dari Kuala Lumpur ke Thiruvananthapuram. – MalaysiaGazette