Stuart Seldowitz

NEW YORK – Bekas penasihat Barrack Obama, Stuart Seldowitz menerima kritikan selepas mengeluarkan kenyataan mengalakkan pembunuhan kanak-kanak Palestin di Gaza, menghina Nabi Muhamad SAW dan al-Quran.

Bekas penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dikecam selepas tular beliau melontarkan kenyataan penuh kebencian kepada penjaja berketurunan Arab dari Mesir di New York.

Dalam video tersebut, Seldowitz yang bekerja di Direktorat Asia Selatan Majlis Keselamatan Negara di bawah Obama berkata, jumlah 4,000 kanak-kanak di Gaza yang mati diserang Israel tidak mencukupi.

Beliau turut berulang kali membuat kenyataan menghina Nabi Muhamad SAW yang didakwanya sebagai perogol.

“Adakah anda merogol anak perempuan anda seperti yang dilakukan oleh Muhamad? Adakah Muhamad perogol. Ia ditulis dalam hadis. Buku suci anda. Anda tahu itu?” soalnya.

Seldowitz kelihatan bengang apabila ucapan provokasi tersebut tidak dibalas oleh penjaja yang hanya menjawab mereka tidak memahami bahasa Inggeris.

Dia kemudiannya mengalihkan kata-kata kesat dan menghina terhadap kitab suci umat Islam al-Quran.

“Anda cakap bahasa apa? Bahasa Arab? Bahasa al-Quran yang sesetengah orang guna sebagai kertas tandas?

“Apa pandangan anda orang yang menggunakan al-Quran sebagai kertas tandas? Tidak mengganggu anda? Beritahu saya secara jujur,” katanya sambil ketawa.

Seldowith juga merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan Politik di Pejabat Jabatan Negara AS bagi Israel dan Hal Ehwal Palestin dari 1999 hingga 2003.

Beliau berkhidmat sebagai pengerusi hal ehwal luar untuk kumpulan pelobi bagi polisi awam, Gotham Government Relation sejak November 2022.

Gotham dalam laman sesawangnya bagaimanapun mengumumkan Seldowith tidak lagi bertugas dalam badan tersebut.

“Gotham Government Relation telah menamatkan semua hubungan dengan Stuart Seldowitz, seorang individu yang tidak menyumbang kepada kerja kami selama bertahun-tahun.

“Tindakannya dalam video itu adalah keji, perkauman dan di bawah standard maruah yang kami amalkan di firma kami,” kata kenyataan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast